Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berikrar menggulingkan bakal Perdana Menteri Najib Abdul Razak sekiranya beliau melantik pemimpin-pemimpin rasuah dalam kabinet baru kerajaan Malaysia.
Mahathir berkata demikian dalam sesi Soal Jawab selepas mnemberikan kuliah "Demokrasi dan Masa Hadapan Kepimpinan di Malaysia" di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur semalam.
"Najib akan menyusun anggota-anggota kabinet, dan sekiranya beliau memilih orang-orang seperti ini, maka dia telah menempah waran mati. Kita akan pastikan dia kalah," kata autokrat itu di kuliah anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).
Mahathir turut menambah rakyat sedia maklum siapa orang-orang yang dimaksudkan itu.
"Kita tengok (siapa yang dipilih ke Kabinet). Kita tahu beberapa calon telah menggunakan wang sebagai tiket untuk bertanding," tegas Mahathir.
Najib akan ditabal Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno 26 Mac nanti, dan secara amalinya presiden kepada parti pemerintah itu turut memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sebelum ini, Dr Mahathir melancarkan kempen terhadap pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selama beberapa tahun, bahkan turut kritikal terhadap Najib mutakhir ini. Meskipun rancangan peralihan kuasa Abdullah-Najib tampak lancar, namun Dr Mahathir tidak yakin peralihan akan berlaku secara menyeluruh.
Menjelaskan ketidakyakinan itu, Dr Mahathir berkata walaupun secara amalinya presiden kepada parti terbesar dalam komponen BN turut juga dilantik sebagai Perdana Menteri, namun amalan itu sebenarnya tidak wajib di sisi undang-undang.
Perdana Menteri Ke-3, Hussein Onn, sendiri tidak melepaskan jawatan Perdana Menteri selama dua minggu sejurus selepas Dr Mahathir dilantik presiden Umno pada 1981.
"Ada kemungkinan perkara ini akan berlaku. Beliau mungkin berkata: saya masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan dan saya akan terus menjadi Perdana Menteri," kata autokrat itu disambut gelak tawa dari hadirin.
"Sekiranya ini berlaku, maka kita akan menghadapi masalah besar. Kita boleh singkirkan beliau melalui undi tidak percaya. Tetapi jika separuh MP BN dan pembangkang sepakat menyokong beliau, Abdullah akan menang dan kekal sebagai Perdana Menteri," kata Dr Mahathir dan mempersoalkan pertemuan antara Abdullah dan Anwar yang dikatakan berlaku secara 'kebetulan' baru-baru ini.
Najib Bukan Pemimpin Akar Umbi
Menjawab soalan apakah Najib mampu menstabilkan negara, Mahathir berkata itu bergantung kepada pemantaun berterusan orang-ramai keatas tindak-tanduk Najib.
Menyingkap perspektif peribadi terhadap keperibadian Najib, beliau berkata Najib seorang pentadbir yang bagus tetapi lemah politiknya.
"Beliau tidak diangkat sebagai pemimpin dari bawah. Najib dipilih menggantikan bapanya sekembalinya beliau dari Eropah. Kita sentimental terhadap bapanya, dan kerana itu kita menyokong beliau," kata Mahathir.
"Beliau tidak arif selok-belok politik akar umbi. Najib hanya tahu politik dari atas," kata Mahathir.
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan