"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibubapa Kugan Hadiri Siasatan


KUALA LUMPUR, 18 April:- Ibubapa A. Kugan menghadiri sesi jawatankuasa siasatan yang ditubuh khas bagi mengenalpasti kemungkinan wujud salahlaku terhadap laporan pertama bedah siasat yang dilakukan ke atasnya.

G. Ananthan dan N. Indra, ditemani peguam mereka S. Surendran tiba di bangunan Kementerian Kesihatan pada jam 3.30 petang semalam dan menemui panel jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh ahli Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Datuk Dr Megat Burhainuddin Megat Abdul Rahman.

Turut hadir di sesi tersebut ialah ahli patologi yang menjalankan bedah siasat pertama,Prof Dr Abdul Karim Tajuddin, dari Hospital Serdang dengan ditemani oleh peguamnya.

Di sesi tersebut, keluarga Kugan menyerahkan dua laporan bedah siasat yang dilakukan ke atas Kugan dan juga salinan laporan polis yang dibuat terhadap Prof Dr Abdul Karim Tajuddin kepada panel jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, peguam S. Surendran berkata, anak guamnya disoal siasat oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Prof Dr Abdul Karim dalam sesi yang mengambil masa lebih dua jam itu.

Menurutnya Jawatankuasa siasatan berkenaan ditubuhkan selepas pasangan suami isteri terbabit membuat aduan kepada MMC mendakwa bedah siasat pertama yang dijalankan tidak dilakukan dengan betul.

Beliau menambah terdapat laporan yang bercanggah apabila bedah siasat kedua telah dilakukan oleh seorang pakar patologi dari Hospital Universiti, di Petaling Jaya.

"Dalam laporan hasil bedah siasat yang kedua, punca kematian Kugan adalah disebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi berpunca daripada dipukul.

Bagaimanapun, dalam laporan bagi hasil bedah siasat pertama yang dilakukan, punca kematiannya akibat paru-paru berair," tambah beliau lagi.

Surendran menambah, sesi siasatan tersebut yang berakhir pada jam 5.30 petang telah ditangguhkan kepada 19 Jun depan.

Kugan, 22, ditahan kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya akibat paru-paru berair.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: