MAJLIS Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) yang berjaya menyatupadukan penduduk enam buah kampung tradisi sekitar ibu negara, menolak Draf DBKL 2020 pada Kongres Muafakat Mempertahan Kampung Tradisi Melayu di Kuala Lumpur Ahad lalu.
Kongres antara lain menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya majlis tempatan bagi menjamin kesejahteraan dan mebela rakyat. Tanah-tanah rezab Melayu dan tanah-tanah yang dimiliki orang melayu sekitar Kuala Lumpur mestilah dikekalkan kepada orang-orang Melayu.
Kongres yang dihadiri oleh penduduk enam buah kampung terbabit iaitu Kg. Bandar Dalam, Kg. Puah, Kg. Sungai Merali, Kg. Sungai Mulia, Kg. Padang Balang dan Kg. Chubadak telah mencapai resolusi menolak draf tersebut kerana kesemua tanah terbabit adalah rizab Melayu.
Menurut Setiausaha Muafakat, Shaharudin Mahmud, pihaknya bimbang jika hasrat itu seperti mana yang dirancang mengikut Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan sejak pertengahan tahun lalu diteruskan, ia akan membawa kemusnahan kepada kampung tradisi dan hak milik orang Melayu pula semakin kecil.
Malah tegas beliau, pengambilan tanah di semua kampung yang berstatus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu.
Draf itu katanya, melanggar dan menodai Perkara 3 Perlembagaan mengenai Agama Islam (Agama Rasmi Persekutuan). DBKL juga dakwanya gagal untuk mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 mengenai Representasi Awam.
"Selain itu, faktor politik dan kesan dari terhapusnya undi Melayu di Wilayah Persekutuan khususnya bagi Parlimen Batu dan Wangsa Maju diambil kira," katanya.
Menurut Shaharudin, sebelum ini tiada perbincangan oleh mana-mana pihak terbabit dengan pemilik-pemilik tanah ketika menyediakan Draf Pelan DBKL 2020. Muafakat bimbang jika draf ini dilaksanakan, pemilikan hartanah dari kalangan orang-orang Melayu di Kuala Lumpur akan semakin tipis.
Kongres sehari itu dibarisi penelis seperti Prof Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (Pengerusi Badan Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Kuala Lumpur), Dr Siti Zainon Ismail (bekas Pensyarah UKM) dan Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan dari UIAM bagi mengupas perbincangan "Mengapa Draf DBKL 2020 Wajib Ditentang Habis-habisan?"
Selain mereka, panelis lain termasuk Pengerusi Pertubuhan Anak-anak Melayu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jajuli Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Kampung Padang Balang, Zainal Abidin Maas.
Kongres tersebut menuntut agar kerajaan mengistiharkan Perkampungan Tradisi Melayu di Kuala Lumpur sebagai perkampungan warisan.
Kongres bersetuju membentuk Jawatankuasa Penduduk yang akan dipertanggungjawabkan merancang pembangunan Perkampungan Tradisi Melayu Kuala Lumpur selaras dengan pembangunan sejagat yang bersesuaian dengan citarasa Alam Melayu yang berteraskan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan