Koleksi foto-foto tersebut termasuk majlis rasmi wanita muda itu yang turut disertai suaminya di negeri berkenaan.
Selain blog yang aktif, muncul juga blog yang baru dibangunkan secara misteri untuk memuatkan foto-foto tersebut - kesemuanya tidak diketahui tarikh ia dirakam dan lokasinya.
Dalam Truth Appeared yang dibina 13 April lalu, satu siri foto menunjukkan Manohara Odelia sedang menikmati sajian bersama suaminya diterbitkan semalam.
Beliau yang berpakaian kemeja putih lengan panjang, berselendang kelabu kelihatan menyuapkan makanan di sebuah kafeteria.
Daripada empat keping gambar itu, kelihatan suaminya berkemeja T putih dengan hiasan nombor tiga di bahagian lengan duduk di sebelah kirinya.
Dengan judul 'Mangsa penculikan suami?', blog yang tidak dikenali itu menyebut:
"Inilah wajah terbaru, Manohara dan (nama tidak didedahkan -editor) (suami yang sah) setelah pulang dari umrah.
"Bagaimana mungkin dituduh penculik. Awas berita palsu dari Indonesia."
Dalam siaran pertamanya, Truth Appeared menerbitkansatu siri foto yang dianggap menunjukkan kemesraan pasangan tersebut, di samping kehadiran Manohara Odelia di satu majlis kemasyarakatan.
Ia juga memuatkan foto wanita itu sedang bersantai, dikatakan di Lojing, Kelantan.
Wanita kacukan Indonesia-Perancis itu kelihatan bersopan, manis dan bergaya seperti seorang kenamaan.
Beliau kelihatan selesa mengenakan selendang putih menutup kepalanya dan baju kurung merah jambu berjalur putih yang menyerlahkan lagi kejelitaannya.
Tidak kelihatan gambaran muram di wajahnya.
Manohara Odelia, 17 tahun, dilihat bersalaman dan berinteraksi dengan penduduk kampung dalam sebuah majlis rasmi.
Namun, fotonya yang diambil sewaktu sedang makan memperlihatkan tubuhnya agak gempal, walaupun berpakaian hitam.
Beliau dan kerabat diraja itu, 31 tahun, juga kelihatan seakan-akan berpegangan tangan.
Tidak kelihatan tetamu lain.
Terdapat juga gambar yang diambil di kawasan taman.
Foto tersebut menunjukkkan wanita itu berinteraksi dan berbual mesra dengan suaminya.
Mereka memakai pakaian yang sama dengan foto di kafeteria.
Manohara Odelia, bagaimanapun, tidak lagi mengenakan selendang kelabunya.
Turut dimuatkan gambar pasangan diraja itu tersenyum ketika melihat gambar daripada kamera digital dan sekeping lagi mereka sedang menghadiri sebuah majlis, kelihatan seperti sambutan ulang tahun.
Ibunya Daisy Fajarina dilaporkan berkata foto-foto tersebut koleksi lama.
"Itu kan foto-foto dokumentasi. Sudah lama," wanita itu dipetik akhbar Suryahari ini.
Manakala satu lagi blog yang dilaporkan memuatkan foto-foto tersebut tidak lagi memuatkan koleksi gambar pasangan diraja itu.
Foto-foto itu kini disebarkan secara lebih meluas di Indonesia dan Malaysia bersama dengan foto-foto lama Manohara Odelia, termasuk sewaktu beliau belum berkahwin, Ogos tahun lalu.
Sebuah laman web di Indonesia turut menyiarkan koleksi gambar Manohara Odelia menghadiri satu majlis rasmi, dipercayai anjuran Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama).
Riak mukanya kelihatan serius dalam pakaian dan tudung jingga.
Beliau juga bergambar bersama sekumpulan wanita pertengahan umur. Suaminya tidak kelihatan bersama.
Foto kad undangan ke majlis kesyukuran sempena meraikan perkahwinan pasangan diraja itu turut dimuatkan – suaminya lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.
Gadis muda itu turut kelihatan bergambar di dalam sebuah pesawat. Foto ini juga dimuatkan dalam blog Kelantan Palace, yang melemparkan beberapa tuduhan liar terhadap istana, termasuk berhubung perkahwinan Manohara Odelia.
Sementara seorang pemimpin Umno, Mohd Soberi Shafii berkata beliau terkejut dengan berita dari media Indonesia yang memburukkan kerabat tersebut.
Bekas petugas di ibu pejabat Umno mendakwa beliau bersama dengan kerabat itu dan Manohara Odelia dalam sebuah kenderaandalam perjalanan pulang bercuti dari Bukit Fraser, Pahang sewaktu mendengar berita tersebut seperti dimuatkan Malaysiakini semalam.
Mohd Soberi juga memuatkan sekeping foto - tidak pasti sama ada gambar itu rakaman terbaru sewaktu sedang bercuti.
Percubaan menghubungi beliau bagaimanapun tidak berhasil.
Usaha mendapatkan reaksi istana Kelantan setakat ini gagal.
Sewaktu dihubungi, seorang kakitangan istana berkata pada kebiasaannya, kenyataan akhbar akan diberikan apabila Sultan mengeluarkan titah baginda.
Memetik sumber akhbar berpangkalan di Surabaya, Malaysiakinimelaporkan wanita itu didakwa dilarikan oleh kerabat tersebut selepas mengerjakan umrah.
Dalam akhbar yang sama, Daisy juga mendakwa anaknya pernah dilukakan di bahagian dada.
Akhbar sama hari ini melaporkan istana Kelantan masih berdiam diri dengan dakwaan tersebut.
"Pihak istana bilang tidak mau memberi jawapan," duta besar republik itu di Kuala Lumpur, Dai Bachtiar dilaporkan memaklumkan kepada Daisy setelah wanita itu cuba melalui saluran diplomatik.
Daisy akan membuat aduan tentang nasib anaknya kepada suruhanjaya hak asasi Indonesia, esok.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan