"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fairus: Saya tetap lepaskan Penanti, sokong Anwar

Bekas  Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata beliau tetap dengan keputusannya meletak jawatan sebagai ADUN Penanti.

"Saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku ADUN N12 Penanti serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan PKR di bawah teraju Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan TVANTARA Fairus juga menyatakan kesediaan untuk turun padang membantu PKR mengekalkan kerusi Penanti.

Fairus menganggap segala apa yang berlaku ke atas beliau dan PKR sebagai sebahagian daripada penjuangan politik.

“Kita harus melihat ke depan dan berusaha memenuhi cabaran yang lebih besar iaitu untuk membawa perubahan politik baru di negara ini demi memberi keadilan kepada semua kaum dan segala lapisan masyarakat,” kata Fairus.

Wawancara penuh dengan Fairus boleh diikuti di laman www.tvantara.com mulai jam 8 malam ini.

 Fairus turut melahirkan kesyukuran kepada Allah "yang telah menganugerahkan keadilan dan pembelaan terhadap kebenarannya".

"Pengumuman SPRM yang telah membebaskan saya dari segala tuduhan itu adalah suatu manifestasi kebenaran saya yang telah selama ini saya pertahankan.

"Ternyata usaha keji pihak-pihak tertentu yang telah menabur fitnah hingga menyebabkan luka terhadap saya, keluarga dan PKR, tidak diizinkan Allah untuk menyanggah kebenaran saya," tegasnya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan keterangan yang diperolehnya dalam siasatan terhadap Fairus tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kononnya dua pemimpin PKR negeri itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.

 Fairus berkata beliau akan berlepas ke Mekah tidak lama lagi untuk mengerjakan umrah. 

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: