"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Jangan campur tangan kerja Speaker' - V.Sivakumar beri amaran

Johari Jaafar  

IPOH, 21 April (Hrkh) - "Jangan campur tangan kerja kerja saya sebagai Speaker dewan Undangan Negeri Perak, saya bukan budak kecil dan tidak berpendidikan, saya tahu apa yang dibuat, pihak lain tidak perlu mempengaruhi saya."

Demikian ditegaskan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dalam reaksi awalnya kepada Timbalan Presiden Gerakan, Dato' Chan Koy Youn yang menyatakan Speaker DUN Perak membenarkan pihak lain membuat keputusan bagi pihaknya.

Sivakumar memberi amaran kepada Chan Koy Youn dalam kenyataan medianya di sini semalam.

"Saya akan membuktikan bahawa kenyataan akhbar yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan Dato' Chang Ko Youn adalah tidak berasas," tegasnya.

Chan Yoy Youn dalam kenyatannya sebelum ini mendakwa Speaker Negeri Perak membenarkan pihak lain membuat keputusan bagi pihaknya.

"Tidak ada sesiapa yang memberi nasihat kepada saya, kecuali peguam-peguam saya berkaitan dengan hal-hal undang-undang ini satu tomahan untuk menjatuhkan kredibiliti saya, saya memberi amaran kepada beliau supaya jangan campur tangan dalam kerja-kerja saya sebagai Speaker Negeri Perak.

"Saya bukannya budak kecil dan tidak berpendidikan.Saya tahu apa saya buat. Pihak lain tidak perlu mempengaruhi saya," tegasnya.

Menurutnya, beliau menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat Perak kerana itu beliau mahu kemuliaan Dewan Negeri Perak tidak dicemari oleh mana-mana pihak kerana persaingan politik.

"Saya hanya tunduk kepada demokrasi dan keadilan," katanya.

Menurut Dato' Chang, Sivakumar akan membuat satu keputusan dan kemudiannya beliau akan mengubah keputusan itu selepas betemu dengan pemimpin-pemimpin DAP.

"Dalam kata lain, beliau menuduh saya sebagai seorang yang tidak mempunyai pendirian, ini adalah satu kenyataan yang berbau fitnah," katannya.

Mengenai isu notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan tanpa berunding dengannya, Sivakumar mencabar Setiausaha Dewan untuk membuat kenyataan akhbar tentang apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya akan membuktikan beliau salah jika mengikut telunjuk mana-mana pihak dan mengatakan rundingan telah dibuat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan notis persidangan," jelasnya

Sivakumar mendakwa beliau juga mempunyai banyak bukti-bukti bahawa notis dikeluarkan tanpa berunding dengannya dan beliau sanggup dan bersedia untuk menyakut cabaran daripada Setiausaha Dewan jika beliau cuba menafikan kenyataannya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah berunding denngan mana-mana pihak mengenai penetapan tarikh persidangan , malah ia tidak memberi arahan untuk mengeluarkan notis tersebut.

"Semuanya dibuat dibelakang saya. Saya diabaikan sama sekali dalam soal ini," katanya.

Selepas membuat kesilapan besar, pihak tertentu sekarang ini katanya sedang melakukan pelbagai usaha dibuat untuk memperkecilkan keupayaannya dan mahu memalukan beliau.

"Ini merupakan satu strategi untuk menjatuhkan akhlak peribadi saya," tegasnya.

Tiada ulasan: