SEMENJAK beberapa tahun kebelakangan ini, orang-orang Umno begitu fobia dengan istilah Tingkat Empat (4), Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Istilah Tingkat 4, dipopularkan mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Ketika mana beliau merujuk kepada kebobrokan dan kerakusan kuasa kroni-kroni Abdullah Ahmad Badawi yang diketuai menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Tingkat 4 dikaitkan dengan perhimpunan suatu kuasa stail baru, orang baru dan anak-anak muda di sekeliling Abdullah (ketika itu) yang menguasai serta menentukan masa depan negara dan parti (Umno-BN).
Golongan Tingkat 4 bukan sahaja tidak disenangi Mahathir, tetapi juga oleh kebanyakan orang-orang Umno kerana, dengan kedudukan mereka sebagai kumpulan lingkaran PM (PM's circle), seolah-olahnya kuasa mutlak terletak di tangan mereka.
Mereka tidak menjalankan tugas-tugas pentadbiran (administratif), tetapi dengan kuasa yang diberikan PM, mereka adalah perangka dan pelaksana hala tuju dasar-dasar negara, kerajaan dan Umno-BN.
Mereka juga bertindak sebagai spin-doctor, mengawal dan memanipulasi media untuk kepentingan politik PM dan Umno-BN.
Besarnya kuasa mereka yang berada di Tingkat 4 ini jugalah yang menentukan apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan pegawai kerajaan, orang-orang Umno dan media arus perdana.
Mereka ini sebenarnya berada di luar circle kerajaan dan parti, tetapi membuat tugasan-tugasan, yang kebanyakannya dilihat sebagai redundant atau mengambil alih tugas pegawai kerajaan dan parti.
Pegawai-pegawai yang menjadi PM's circle ini terlalu kebal kuasa mereka. Jika mahu sebarang urusan dengan PM, cadangan atau apa sahaja hajat, harus menembusi mereka terlebih dahulu.
Dengan kata lain, jika mereka tidak berjaya diyakinkan sama ada dalam bentuk pujukan atau rasuah, jangan haraplah hendak berjumpa dengan PM.
Penguasaan mutlak mereka menyebabkan Mahathir begitu marah kerana, pada zaman pemerintahannya, tidak wujud pegawai-pegawai Tingkat 4 yang berkuasa. Semua kuasa dan penentu dipusatkannya ke bilik pejabat PM, sehingga beliau dilabel sebagai diktator.
Selepas Abdullah diundurkan, Mahathir tidak berhenti-henti bersuara dan pernah menyuarakan kebimbangannya, bahawa fenomena Tingkat 4 ini, akan berulang pada zaman Mohd Najib Tun Razak.
Khabarnya fenomena ini sudah berulang. Apa yang dibimbangi dan ditakuti Mahathir dan orang-orang Umno seolah-olahnya sudah berulang kembali, sebaik sahaja Najib mula berkuasa.
Khabarnya ada 'kuasa baru' yang diwujudkan, berada disekeliling Najib sekarang ini. Kuasa baru ini bertindak sebagaimana pegawai Tingkat 4 di zaman Abdullah.
Pegawai-pegawai inilah yang mengetengahkan gagasan One Malaysia seperti yang dicanangkan Najib.
Malangnya buat Najib, ialah kerana, gagasan ini tidak disenangi kebanyakan orang Umno. Bagi mereka gagasan One Malaysia ini besar implikasinya.
Tidak jelas kata mereka. Tidak diberi penjelasan atau tidak mendapat persetujuan dari kalangan Majlis Tertinggi Umno.
Malah, tatkala akhbar Utusan Malaysia yang begitu pro Najib dan dianggap sebagai pelopor chauvanisme Melayu membuat tajuk 'Bangkitlah Melayu', khabarnya mereka dikecam hebat oleh kumpulan Tingkat 4 JPM kerana dianggap sebagai bercanggah denganOne Malaysia.
Khabarnya ramai editor-editor akhbar arus perdana diberi amaran. Malah ada yang menyiarkan temubual 'pihak-pihak tertentu', walaupun bertujuan positif untuk Najib, tetapi diberi amaran kerana tidak disenangi pihak yang rapat dengan Najib.
Malah lebih obvious (ketara) lagi apabila ada orang Umno mendakwa, khabarnya dilantik tiga orang pegawai khas untuk Rosmah Mansor. Mereka terdiri dari seorang Melayu, Cina dan India.
Perkara ini tidak pernah berlaku pada zaman Dr Mahathir atau zaman Abdullah. Tiada pegawai khas untuk Hasmah Mohd Ali atau Endon Mahmood (allahyarham) atau pun Jeanne Abdullah.
Jika dakwaan ini betul, peruntukan mana digunakan untuk membayar gaji mereka bertiga? Kenapa perlu sampai tiga orang? Jika dakwaan ini benar, ianya harus disiasat kalau-kalau wujud penyalahgunaan kuasa PM atau isteri.
Namun, untuk bersangka baik dengan Rosmah, kemungkinan ketiga-tiga pegawai ini dibayar untuk menggunakan wang poket beliau sendiri.
Namun, apa pun yang diperkatakan, baru tiga minggu Najib berkuasa, sudah macam-macam cerita negatif yang ditimbulkan oleh orang-orang Umno.
Lebih buruk lagi ialah apabila kuasa besar yang diberikan kepada PM's circle ini, telah mengetepikan peranan pegawai-pegawai yang sedia ada, yang lama bertugas dengan penuh setia terhadap Najib.
Barangkali akibat khayal di kemaruk kuasa, Najib terlepas pandang tentang hal-hal ini semua.
Harus juga diingatkan kepada Najib tentang fengshui orang-orang Cina terhadap angka 4 (empat) ini. Bagi orang-orang Cina angka 4 merupakan angka 'sial' kerana disebut sebagai 'sei' yang membawa erti mati.
Bukan apa, silap haribulan, kuasa yang terlampau diberikan kepada pegawai Tingkat 4 JPM, akan menyebabkan orang Umno-BN semakin marah dan rakyat semakin meluat dengan kerajaan.
Jika semua ini tidak dibendung dan diatasi, kebarangkalian untuk Najib menjadi penjawat jawatan PM terpendek dalam sejarah politik Malaysia, akan menjadi realiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan