"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM Sahkan Tiada Pendakwaan Ke Atas Fairus

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa ia tidak mempunyai asas untuk mendakwa bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berhubung siasatannya terhadap sebuah kuari di negeri itu. 

Menurut kenyataan SPRM, Peguam Negara juga bersetuju supaya tidak ada pertuduhan dikenakan terhadap Fairus.

 

SPRM sebelum ini membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kononnya dua pemimpin PKR negeri itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Fairus sebelum ini telah sukarela meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan sebagai ADUN Penanti kerana ingin menyambung pelajaran pasca sarjana.

 

Suruhanjaya Pilihanraya akan menetapkan tarikh pilihanraya kecil Penanti Isnin depan.  

 

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mempertahankan Fairus atas siasatan SPRM terhadap beliau tetapi menegaskan parti itu akan menawarkan seorang calon yang berwibawa pada pilihanraya kecil Penanti.  

 

Menurut kenyataan SPRM, siasatan mendapati tugas dan tanggungjawab di bawah portfolio Fairus tidak ada kaitan secara langsung dengan perusahaan kuari di Pulau Pinang.

"Beliau hanya diberi tugas mengendalikan siasatan kes pemberian tanah di Lot 954 dan 955, Mukim 20, Seberang Perai Tengah kepada seseorang, dan siasatan mendapati beliau ada meminta dan menerima pembiayaan daripada seorang pengusaha kuari bagi menghadiri satu kursus antarabangsa di London," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut SPRM, pengusaha kuari yang memberi sumbangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap Fairus.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: