"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pentas 152 Berjaya Lonjak Semangat Generasi Muda - Pak Samad

Petaling Jaya: Generasi muda diseru menghayati semangat cintakan bahasa kebangsaan dan meneruskan perjuangan yang telah diasaskan seawal tahun 1950an dahulu.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata, musnahnya kegemilangan sesuatu negara bangsa selalunya berlaku apabila  pemimpin dan masyarakat hilang perasaan tanggungjawab dalam mendokong bahasa kebangsaan.

Beliau berkata demikian pada program Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) di Petaling Jaya.

Pentas 152 merujuk kepada Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Datuk Samad adalah antara yang paling lantang membantah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matrematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah.

Dasar itu dilihat sebagai memperlekehkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama sebagai yang termaktub dalam Perlembagaan.

Kementerian Pelajaran masih belum membuat keputusan muktamad mengenai PPSMI atas alasan ia mamsih dalam proses mendapatkan maklum balas daripada kementerian lain sebelum isu itu dibawa ke Kabinet.

Secara umum, PPSMI tidak memberi kesan ketara ke arah meningkatkan pennguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris, mahupun  Sains dan Matematik walaupun sudah enam tahun dilaksanakan dan menelan peruntukan berbilion ringgit dalam melatih guru serta menyediakan perisian untuk menjayakan dasar itu. 

Pentas 152 anjuran AIC turut mendapat sokongan moral daripada beberapa pertubuhan seperti Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

A Samad Said atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mengalu-alukan inisiatif AIC menganjurkan Pentas 152,

Menurut beliau, rakyat yang prihatin tidak menolak kemajuan tetapi kemajuan sama sekali tidak boleh mengorbankan kelangsungan bahasa kebangsaan.

"Disebabkan oleh kerana tiada tanggungjawab itulah maka wujudnya kelompok pemimpin ‘CaTakSerKin’ (Cakap Tak Serupa Bikin) yang akhirnya mendatangkan bahana buat identiti bangsa,” tegas Pak Samad di dalam amanat kemuncak beliau.

Presiden AIC, Muhammad Shukri Saad berkata bahawa Pentas 152 adalah manifestasi generasi muda dalam menyatakan sokongan terhadap keperluan mempertahankan martabat bahasa kebangsaan dalam apa keadaan sekalipun.

“Menyedari hakikat ini AIC memulakan langkah pada tahun 2009 melalui penganjuran Pentas 152 untuk menyatakan tekad generasi muda yang menyokong agar PPSMI dimansuhkan,” ujar Shukri.

Program yang dimulakan pada jam 8.30 malam itu turut diisi dengan penampilan khas Setiausaha GMP, Hasni Abas; penyair terkenal Pyan Habib; serta budayawan seperti Fyn Jamal, Meor, Amin Iskandar dan Rahmat Haron.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: