"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fairuz cadang saman pihak yang memfitnahnya

Mohd Sabri Said 

PERMATANG PAUH, 30 April (Hrkh) - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti merangkap bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairuz Khairudin telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu, ahli politik dan media yang terlibat memfitnah sehingga menjatuhkan nama baik dan keluarganya

Beliau menegaskan, mereka yang terlibat wajar diadili di mahkamah kerana mencipta berbagai isu semata-mata tidak senang dengan apa yang beliau perolehi sejak menang dalam pilihan raya umum ke 12 lalu, tambahan lagi dilantik ke jawatan nombor dua kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Bukan saya mendendam tetapi ia terpaksa dibuat untuk memberi pengajaran kepada mana-mana pihak sama ada individu, ahli politik atau media yang tidak henti-henti memfitnah diri dan keluarga. Sikap itu tidak sewajarnya berlaku kerana ia boleh merosakkan sebuah kerajaan," ujarnya.

Kata beliau, semua arahan berkaitan tindakan mahkamah itu telah dibuat minggu lepas dan peguam sedang berusaha meneliti dan mengkaji bahan-bahan sepatutnya.

Ditanya adakah beliau akan terus akan meninggalkan Penanti beliau berkata, tidak sama sekali sebaliknya akan pulang menjenguk rakyat yang pernah mengamanahkan kepadanya satu tangggungjawab yang berat.

"Budi dan jasa mereka tidak akan dilupakan bahkan akan diabadikan dalam jiwanya kerana tanpa mereka mungkin kemenangan di Penanti dalam pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan," katanya.

Sepanjang perkhidmatanya setahun di Penanti 45 projek kecil dan enam projek besar telah siap dilaksanakan.

Kampung Teluk Wang yang selama 50 tahun tidak pernah dimasuki air juga berjaya dikotakan termasuk seorang peniaga kuih tradisional yang mendapat bantuan 'oven' padahal sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah peniaga berkenaan sekadar dijanjikan saban tahun.

"Semua usaha itu dilakukan bersama agensi kerajaan di bawah Pakatan Rakyat dan kejayaan ini merupakan kejayaan bersama dalam masa tujuh bulan memerintah," kata beliau.

Tiada ulasan: