"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ROS Perlu Ambil Tindakan Batalkan Umno

Kadar Shah Fail Afidavit Minggu Depan Paksa ROS Ambil Tindakan Terhadap Umno


   

Ahli Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman dijangka memfailkan afidavit beliau kepada mahkamah minggu depan bagi memaksa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan terhadap laporannya berhubung politik wang semasa Perhimpunan Agung dan Pemilihan Umno Mach lalu.

Datuk Kadar Shah, anak kepada bekas pengerusi tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah berkata pasukan peguam beliau telahpun menyiapkan afidavit tersebut dan menegaskan beliau tetap akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli umno yang prihatin.

"Saya tetap dengan prinsip saya mahu memfailkan afidavit yang saya sudah sediakan. Tempoh saya beri kepada ROS sudah melebihi sebulan dan sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan lanjut diambil. 

"Saya hanya terima surat ROS mengatakan mereka telah menerima laporan saya, itu saja," kata Datuk Kadar Shah ketika dihubungi TV Antara.

Beliau juga memberitahu telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Umno mengenai hasratnya itu dan ada yang memujuk beliau menangguhkan rancangan beliau.

"Saya beritahu mereka saya serius dalam perkara ini dan setakat ini saya telah beri mereka peluang untuk berbincang dengan pucuk pimpinan parti tapi saya masih mahu meneruskan rancangan saya.

"Nasihat saya kepada pemimpin Umno jangan pandang ringan apa yang saya hendak lakukan. Walaupun mereka pandang perkara ini enteng kerana fikir mereka berkuasa dan berpengaruh namun kesan tindakan saya ini memberi kesan besar kepada parti," ujar beliau lagi.

Pada perhimpunan Umno lalu, Datuk Kadar Shah dan adiknya, Hassan, sebagai perwakilan Muar, telah  memboikot pengundian  jawatan tertinggi Umno kerana membantah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dibenarkan mengundi walaupun kedua-dua mereka didapati bersalah terbabit dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.

Pada 24 Mach lalu beliau bersama bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun membuat aduan kepada ROS terhadap parti mereka sendiri dengan harapan agensi tersebut mengambil tindakan terhadap Umno berhubung kes politik wang dan larangan bertanding.

Sekiranya ROS bertindak mengikut peraturan dan peruntukan perundangan di bawah pertubuhan tersebut, kemungkinan besar perhimpunan agung Umno lalu akan dibatalkan dan akan memberi kesan mendalam terhadap semua keputusan pemilihan parti termasuk pemilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno. 

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: