SETIU, 27 April (Hrkh) - PAS menyifatkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi 'Kelab Penyokong Umno' kerana melakukan diskriminasi terpilih terhadap pendakwaan kes rasuah dan politik wang.
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata perubahan besar ke arah lebih baik, telus dan berkeyakinan yang diharapkan kepada SPRM tidak kesampaian.
"SPRM jadi 'Kelab Umno' hilang wibawanya. SPRM, kita (PAS) mengharapkan satu perubahan yang besar. Dia (SPRM) perlu bertindak tanpa kira bulu tanpa kira parti tanpa kira kedudukan," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31 PAS Kawasan Setiu, di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.
Menurutnya, tangkapan yang pernah dilakukan terhadap ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Perak meski pun pahit dialu-alukan.
Bahkan, katanya siasatan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Muhammad Fairus wajar jika ada bukti menyeleweng.
"Jika kita (rakyat) tengok dia (SPRM) tangkap Exco kerajaan negeri Perak walau pun pahit kita (PAS) alu-alukan.
"Siasatan terhadap Tan Sri Khalid (MB Selangor) terhadap Muhammad Fairus (TKM) tetapi saya sedikit hairanlah mereka (SPRM) tidak tahu kes-kes rasuah yang berlaku dalam Umno," jelasnya.
Menurutnya, SPRM tidak mendakwa bekas MB Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dan lain-lain.
Beliau mendedahkan, hampir 1000 lebih kes yang membabitkan para perwakilan dan pemimpin Umno berkaitan politik wang (rasuah) tetapi tidak ada pendakwaan oleh pihak SPRM.
"Badan Pencegah Rasuah (BPR) ini paling berwibawa di zaman Tunku Abdul Rahman dan diawal pemerintahan Tun Razak dan kita (PAS) melihat dia (BPR) bertindak tanpa kira kedudukan.
"Selepas itu sampai sekarang masih tidak boleh diperbaiki sebab pemerintah (Umno-BN) itu sendiri sebenarnya begitu rosak,"ujarnya.
Berikutan pilihan raya kecil bakal diadakan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti ekoran perletakkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit PAS akan membantunya.
Oleh kerana, katanya status kerusi Dun Penanti sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 milik Parti KeADILan Rakyat (PKR) maka, calon dari parti itu akan bertanding.
"Saya yakin majlis presiden akan bermesyuarat dan selalunya status Pilihan Raya Umum akan dikekalkan. Maka, calon PKR akan bertanding dan PAS akan membantunya," jelasnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil tersebut mudah tetapi mesti mengatasi majoriti yang sebelum ini.
Oleh itu, katanya pembangkang perlu bekerja lebih kuat untuk menang dengan majoriti yang lebih baik agar tidak nampak kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Yahya Ali dan Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan