"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR: Pecat 16 orang, lantik Saifuddin Pengarah Pilihan Raya ganti Azmin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Pengarah Strategiknya, Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Pilihan Raya menggantikan Naib Presiden Azmin Ali dalam proses menyusun semula struktur pengurusan komponen Pakatan Rakyat itu.

Selain itu, PKR juga memecat 16 ahlinya kerana pelbagai kesalahan termasuk menentang calon parti itu dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak, yang melepaskan tugas Pengarah Pilihan Raya pula akan mengetuai pasukan petugas yang terdiri daripada kesemua Naib Presiden iaitu Dr. Lee Boon Chye, R. Sivarasa, Mustafa Kamil Ayub, serta Dr. Jeffrey Kitingan.

Seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua pula dilantik menggantikan Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.

Turut menganggotai pasukan petugas itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin.

Selain itu, tugas pasukan adalah memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi blognya hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada perubahan yang dibawa Anwar yang menurutnya bertujuan menekankan semula hala tuju perjuagan parti dengan menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah dan menjana kekuatan parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kini diberikan bertanggungjawab memantau liputan media dan segera mengulas isu berbangkit, kata Anwar lagi.

Lain-lain lantikan ialah:

- Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam isu dasar perjuangan yang menunjangi parti - politik, ekonomi, pendidikan dan budaya.

Selain isu beliau juga diberikan tanggungjawab mengambil berat dasar umum tersebut, perihal yang diprihatinkan masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu ditangani.

- Setiausaha Agung, Datuk Sallehuddin Hashim akan mengurus operasi ibu pejabat, perjalanan dan jentera parti, jawatankuasa pengurusan dan kempen keanggotaaan.

- Pengerusi Jawatankuasa Latihan (Kepimpinan Parti): Fauziah Saleh

- Pengerusi Jawatankuasa Keanggotaan Baru: Johari Abdul

- Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa: Mustafa Kamil AyobTimbalan Pengerusi: Dr Tan Kee Kwong

- Ketua Penerangan: Latheefa Koya

- Ketua Komunikasi: Johnson Chong

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali dalam kenyataan berasingan memberitahu, mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat PKR dalam mesyuaratnya semalam telah mengambil keputusan sebulat suara untuk memecat 16 orang ahlinya.

Pemecatan berkuat kuasa serta-merta mulai tarikh pemecatan dilakukan.

"Mereka ini bertanding sebagai calon menentang calon parti, menyokong calon yang menentang calon parti, mengkritik parti melalui media dan mengisytiharkan diri keluar dari parti dalam ceramah atau melalui media.

"Mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut dalam pilihan raya lecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini," 

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: