"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sivakumar: Setiausaha Kerajaan Negeri Campur Urusan DUN Sekat Media


   

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar menyelar tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim menyekat anggota media membuat liputan persidangan DUN yang dijangka bermula 7 Mei depan sambil memberi amaran kepada penjawat awam itu supaya tidak mencampuri urusan perjalanan DUN. 

Beliau berkata tidak ada sebab munasabah media disekat membuat liputan berita berhubung sidang DUN dan menambah rakyat berhak mengetahui apa sebenar yang berlaku dalam persidangan pada hari itu.

"Kenapakah syarat-syarat dikenakan untuk menghalang media massa menghadiri persidangan dewan negeri kali ini?. Mereka bukannya datang untuk menimbulkan kekecohan dalam dewan. 

"Mereka hanya datang untuk membuat liputan persidangan. Rakyat berhak mengetahui apakah sebenarnya berlaku dalam persidangan hari itu. 

"Rakyat tidak boleh diperdayakan dengan berita ‘satu pihak’ dengan hanya membenarkan media yang menyokong kerajaan. 

"Tindakan Datuk Setiausaha jelas menunjukkan satu lagi usaha yang mengancam demokrasi negara kita. Tindakan beliau adalah bertentangan amalan ‘kebebasan akhbar," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri dilaporkan mengeluarkan arahan membenarkan hanya sejumlah kecil wartawan memasuki DUN pada sidang 7 Mei.

Hanya tiga kakitangan TV dibenarkan membuat liputan dan dua wartawan media utama dibenarkan masuk kecuali RTM dan TV3 yang diberi kelepasan tiga wartawannya membuat liputan.

Menurut Pegawai Kanan Sekretariat Korporat & Perhubungan Awam Kerajaan Negeri Perak, Noor Aniza Mansor hanya pihak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri akan dibenarkan untuk masuk ke dalam DUN kononya supaya mesyuarat boleh berjalan secara lancar.

Sivakumar berkata beliau akan bertemu dengan Datuk Abdul Rahman secepat mungkin bagi mendapat penjelasan dan membantah kekangan yang dikenakan ke atas media.

"Perjalanan persidangan Dewan Negeri terletak di bawah bidang kuasa Speaker. Datuk Setiausaha Kerajaan tidak berunding dengan Speaker berkaitan dengan hal ini.

"Beliau membuat keputusan sendiri secara sewenang-wenangnya. Saya memberi amaran kepada beliau supaya tidak campurtangan dalam urusan Dewan Negeri. Saya berharap beliau sebagai penjawat awam akan berpeganag kepada prinsip neutraliti.

Beliau menegaskan sebagai Speaker DUN beliau berpegang kepada prinsip-prinsip demokrasi yang subur. 

"Dalam persidangan-persidangan DUN tahun yang lepas, saya membenarkan liputan TV internet secara langsung. Ramai orang dari dalam dan luar negara telah mengikuti persidangan dewan tersebut. 

"Inilah namanya demokrasi, kerana rakyat yang memilih wakilnya berhak mengetahui apakah yang berlaku di dewan semasa persidangan. Ianya tidak boleh disorok-sorokkan.

"Oleh yang demikian, saya mahu semua media, termasuk media antarabangsa dan media internet untuk membuat liputan persidangan DUN pada 7 Mei secara adil dan saksama," tegas beliau lagi.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: