"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu lembu: MB Selangor saman fitnah Ketua SPRM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua pesuruhjayanya dan kerajaan berhubung pendedahan hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor itu.

Writ saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 2.45 petang hari ini oleh firma guaman Messrs S.N.Nair & Partners.

Dalam writ yang menamakan Datuk Ahmad Said Hamdan, suruhanjaya dan kerajaan sebagai para defendan, Khalid mendakwa pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said pada 21 Februari lepas mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu adalah berunsur fitnah.

Khalid memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi khas dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu. Beliau tidak menyatakan amaun yang dipohon.

Ahmad Said telah membuat kenyataan mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berhubung penyelengaraan bagi kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa perkataan memfitnah yang dikeluarkan oleh Ahmad Said, yang telah menyebabkannya diterbitkan oleh media, berniat untuk merendahrendahkan kapasitinya secara peribadi dan rasmi.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok itu mendakwa SPRM telah bertindak di luar bidang kuasa mereka, telah secara efektif merampas kuasa dan fungsi Peguam Negara.

Beliau mendakwa para defendan sepatutnya tahu bahawa kuasa mereka terbatas secara eksklusif kepada penyiasatan sahaja dan hanya jika disokong oleh Peguam Negara, mereka boleh menjalankan pendakwaan.

Katanya, melalui peguam belanya, beliau telah meminta penjelasan berhubung tindakan para defendan tetapi mereka (para defendan) gagal memberikan jawapan.

Beliau juga mendakwa para defendan juga enggan memenuhi tuntutannya supaya menarik balik kenyataan itu.

Peguam yang mewakili Abdul Khalid, Sankara N.Nair, dalam kenyataan media berkata motif anak guamnnya memfailkan saman untuk bukan untuk kepentingan wang ringgit tetapi untuk membersihkan namanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said dan dua yang lain kerana mendakwa menyalahgunakan dana kerajaan bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban dan menyelenggara kereta.

Kes saman fitnah difailkan di Kuala Lumpur hari ini.

"Tan Sri Khalid tidak memohon pampasan kewangan, beliau mahu nama baiknya dibersihkan," kata peguamnya, Sankara Nair kepada wartawan selepas memfailkan writ saman di Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 3 petang tadi.

Sankara berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, di bawah Akta SPRM tidak diberikan kuasa menyatakan kepada media mengenai hasil siasatan.

"Oleh itu mereka telah melanggar akta tersebut," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, kuasa mutlak untuk menentukan sama ada terdapat cukup bukti terletak pada Peguam Negara.

"Tindakan Ketua Pesuruhjaya (SPRM) mendakwa anak guaman saya telah terlibat dalam salah laku, dalam kenyataan rasminya pada 21 Februari lalu, merupakan satu serangan ke atas reputasi dan bertujuan memfitnah beliau," katanya.

Khalid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi tumpuan berhubung isu menggunakan dana kerajaan untuk membiayai usaha pemberian lembu-lembu korban bernilai lebih RM110,000.

Dana itu dikatakan daripada sumbangan daripada enam anak syarikat dan syarikat bersekutu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang ingin mengagihkan lembu berkenaan di surau-surau di kawasan Parlimennya, Bandar Tun Razak, pada Hari Raya Aidiladha, Disember lepas.

Sebelum ini, Khalid menafikan dakwaan sedemikian.

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) hari ini membuat aduan kepada SPRM Selangor dan meminta badan itu menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pembelian lembu korban itu.

Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya ada bukti dan keterangan kukuh berhubung dakwaan Khalid menyalah guna wang kerajaan negeri bagi menyelenggara kereta peribadi dan pembelian 46 lembu untuk korban sempena Aidiladha Disember lalu.

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: