"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama dibidas, tidak faham kepimpinan PAS

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun membidas sesetengah pemimpin ulama yang tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap.

Kepimpinan ulama yang sebenarnya ialah kombinasi antara kalangan ulama dengan profesional bagi memantapkan masa depan parti, katanya seperti dilaporkan 
Bernama.

Beliau, juga ADUN Bukit Tuku, diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamad Daud yang mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden diberi kepada ulama bagi
memastikan kesinambungan masa depan parti.

Abdul Fatah berpendapat saranan Mohamad itu tidak berbangkit kerana kombinasi antara dua golongan itu penting jika PAS mahu terus diterima oleh semua peringkat pengikut sepanjang masa.

Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin terbabit diberi pendedahan mengenai konsep itu seperti yang diputuskan oleh Dewan Pemuda PAS pada muktamar agung parti 20 tahun lalu, di Bukit Mertajam.

"Saya bimbang jika konsep kepimpinan ulama ini tidak difahami, sesetengah ahli PAS mahu PAS hanya dimonopoli oleh golongan ulama," Abdul Fatah dipetik berkata hari ini.

Semalam Mohamad dilaporkan berkata, kepimpinan tertinggi PAS perlu diterajui golongan ulama.

"Orang nombor satu (presiden) dan nombor dua (timbalan presiden) mesti ulama. 

"Sebab kalau orang nombor satu ada tugasan lain, seperti cuti, sakit dan sebagainya, tugasnya mesti diambil oleh orang nombor dua," Mohamad dilaporkan berkata.

Beberapa tokoh PAS yang bukan daripada golongan ulama kini disebut-sebut berminat mencabar penyandangnya Nasharuddin Mat Isa.

Nama-nama yang dicalonkan itu termasuklah dua naib presidennya Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu dan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: