Sebelum berlangsungnya muktamar Dewan Pemuda PAS pada tahun 1982 di Madrasah al-Masriah di Bukit Mertajam, berlaku sesuatu yang pelik. Tidak ada usul yang dikemukakan oleh Pemuda PAS negeri-negeri untuk dibincangkan dalam muktamar itu.
Akhirnya, Ketua Pemuda PAS pada masa itu, Haji Mustapha Ali (Cik Gu Pa) berbincang dengan dengan Setiausaha Pemuda waktu, Haji Subky Latiff dan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda pada masa itu, Haji Wan Abdul Mutalib Embong. Mereka berbincang di rumah Almarhum Sheikh Ahmad Masri, iaitu datuk kepada Ustaz Hasan Salehuddin, juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS pada masa itu (Tok Guru Presiden hari ini juga Ahli Jawatankuasa Pemuda pada masa itu).
Dalam perbincangan itu, Subky mengemukakan draf usul supaya Muktamar Dewan Pemuda PAS tahun itu memutuskan untuk mempelopori konsep kepimpinan ulama. Apabila usul itu dibentang dalam muktamar tersebut, para perwakilan menerima sebulat suara dengan laungan takbir yang meremangkan bulu roma (masa tu, orang-orang PAS memang pakar takbir).
Di peringkat Muktamar PAS Pusat dua minggu kemudian juga berlaku keganjilan. Tidak ada sebarang usul yang diterima dari perwakilan melainkan perwakilan Dewan Pemuda. Allah Maha Besar dan Maha Merencanakan, usul mengenai konsep kepimpinan ulama yang dibentangkan oleh Dewan Pemuda itu akhirnya menjadi ketetapan sebulat suara muktamar.
Kalau anda berada di dewan persidangan di Dewan Bahasa dan Pustaka di mana PAS bermuktamar pada waktu itu, anda tentu dapat merasakan aura luar biasa apabila gegak gempita laungan takbir mengisi jiwa raga dan emosi anda. Allahu Akbar! Allahu Akbar! AllahuAkbar!
Dalam muktamar itu jugalah Yang Dipertua Agong PAS pada masa itu, Almarhum Tan Sri Asri Mudaatau Ayah Mat menyerahkan kembali kepada muktamar mandat sebagai Yang Dipertua Agong PAS. Muktamar menerimanya.
Asri bukan tidak ada penyokong langsung. Apabila muktamar menerima mandat yang diserahkan oleh beliau, beberapa penyokongnya naik angin. "Sapo takbir ambo tapa (tampar)! Sapo takbir ambo tapa!"
Tapi orang tak peduli, takbir tetap bergema!
Almarhum Ustaz Haji Yusof Rawa yang sangat dikasihi kemudiannya menjadi pemimpin yang pertama menerajui PAS dalam era kepimpinan ulama.
http://penarikbeca.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan