"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Petugas BN berlagak samseng,ugut guna parang!


Izwan Abdul Halim & Bashir Ishak  

SUNGAI LALANG, 7 April (Hrkh) - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Animah Ferrar mendakwa bahawa petugas Barisan Nasional (BN) telah bertindak di luar batas demokrasi apabila menghalang petugas Parti KeADILan Rakyat untuk menurunkan kain pemidang yang bersifat serangan peribadi kepada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media di Yayasan Aman, di sini semalam katanya, kain pemidang tersebut yang tidak mempunyai logo mana-mana parti itu dipasang di Taman Bandar Baru, di sini.

"Baru sempat menanggalkan 'banner' pertama, kami didatangi lebih kurang 15 orang yang sebelum itu berada di hadapan Bilik Gerakan BN dan hampir kesemua mereka memakai baju BN. Mereka memaki-maki kami secara kasar dan melarang kami menanggalkan 'banner' itu.

"Apabila kami katakan 'banner' itu melanggar peraturan pilihan raya, mereka mengatakan 'banner' itu dipasang oleh Umno, bukannya mereka (MIC)," ujar Animah membacakan kenyataannya.

Katanya, kumpulan beliau seterusnya bergerak untuk merayu undi tetapi dihalang oleh petugas BN terbabit secara keras dan ganas serta menegaskan bahawa petugas KeADILan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut kerana mendakwa kawasan itu milik mereka.

Jelas beliau, kumpulan itu turut mengugut untuk menggunakan parang bagi menghalang petugas KeADILan tersebut.

Bimbangkan keselamatan, beliau bersama rakan-rakannya terus ke Pondok Polis berhampiran untuk membuat laporan. Terang Animah, ketika sedang membuat laporan, kumpulan terbabit dengan jumlah lebih ramai antara 25 hingga 30 orang telah datang ke Pondok Polis berkenaan dan membantah usaha membuat laporan itu.

Dalam suasana semakin tegang dan kecoh serta sukar dikawal polis itu katanya, beliau bersama rakan-rakannya termasuk Ahli Parlimen Padang Serai. N Gobalakrishnan beredar dari situ sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bedong.

"Polis layan saya secara bersopan, tetapi saya rasa seolah-olah saya pula yang dianggap bersalah. Mereka mengambil gambar 'banner' yang berkenaan di 'bonet' kereta saya dan memastikan nombor kereta saya juga termasuk dalam gambar.

"Pihak polis suruh saya pergi semula ke kawasan berkenaan bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka sahajalah yang berhak menanggalkan 'banner' kedua itu. Bagi saya ini tidak betul, kerana tanpa logo mana-mana parti, 'banner' tersebut tidak termasuk dalam kategori bahan kempen rasmi pilihan raya.

"Kami merasa amat kesal kerana kerajaan dan agensi-agensi yang diamanahkan untuk memastikan pilihan raya dijalankan secara teratur, adil dan selamat telah gagal berbuat demikian. Kami amat kesal juga kerana parti-parti BN terus menggunakan khidmat samseng sebagai sebahagian daripada jentera pilihan raya mereka.

"Dengan ini, sistem demokrasi di negara ini bukan sahaja gagal dipertingkatkan tetapi sebaliknya semakin terhakis," ujarnya mengakhiri kenyataan. 

Tiada ulasan: