"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Junjung kasih Tuanku kerana memudahkan Pakatan Rakyat

Dato' Mahfuz Omar 
Thu | Apr 09

SEMASA artikel ini ditulis, Dato' Seri Najib Tun Razak baru sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Angkat sumpah ini melengkapkan Teori RAHMAN yang sekian lama dicanangkan oleh pemerhati politik tentang susun atur Perdana Menteri Malaysia.

Kita bersyukur kepada Allah kerana proses peralihan kuasa ini berlaku secara tenang dan bersusila walaupun banyak juga pihak merayu kepada Seri Paduka Baginda agar menangguhkan dahulu angkat sumpah Najib ini.

Walaupun saya sendiri tidak seronok berperdanamenterikan seorang yang dipalitkan dengan pelbagai skandal, tetapi saya tidak mahu peralihan kuasa berlaku dalam keadaan yang tegang seperti yang dialami oleh negara jiran kita, Thailand.

Kita tidak mahu angkat sumpah yang kecoh seperti yang berlaku di Kuala Kangsar tempoh hari apabila Dr Zambry Kadir mengangkat sumpah sebelum menteri besar sedia ada meletak jawatan. Hingga hari ini kegawatan politik tidak henti-henti di negeri timah itu. Kita tahu keadaan seperti ini tidak baik untuk rakyat, tetapi Dato' Seri Najib lakukan juga.

Sebab itu, apabila PR membantah perlantikan Najib, kita tidak melakukan demonstrasi kerana tidak mahu periuk nasi rakyat terjejas. Mungkin Najib tidak berfikir begitu masa beliau menghuru-harakan Perak pada Februari lalu. Najib mungkin hanya berfikir bahawa dia mesti melakukan sesuatu untuk membolehkan dia dilihat sebagai 'hero' sebelum menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri.

Apapun saya amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin kerana memilih Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri keenam. Pertama, kerana Baginda telah melengkapkan teori RAHMAN. Teori yang meletakkan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari Umno/BN selepas Rahman (Tunku Abdul Rahman), Abdul Razak (Tun Abdul Razak Husien), Husein Onn, Mahathir dan Abdullah.

Ini bermakna Najib adalah Perdana Menteri terakhir di kalangan pemimpin Umno/BN. Berkemungkinan selepas Najib, giliran PR pula membentuk susunan perdana menteri yang baru.

Kedua, pemilihan Datuk Seri Najib sebenarnya dengan sendiri mempermudahkan kerja PR dalam menumbangkan BN yang berkuasa sejak 1955 itu.

Pada 31 Oktober 2003 dahulu, ketika Pak Lah mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Dr Mahathir, imej Pak Lah cukup baik di kalangan rakyat. Apa tidaknya, beliau cucu kepada seorang ulama besar, bapanya seorang tokoh politik terkenal, belau sendiri berpendidikan agama dan terkenal dalam Umno sebagai 'Mr Clean'. Tetapi suasana peralihan kuasa hari ini berbeza sama sekali kerana 'Mr Clean' akan digantikan oleh Najib yang begitu comot di mata rakyat dengan isu kapal selam, Eurocopter, politik wang/rasuah, rampasan kuasa di Perak dan juga Altantuya.

Kegagalan Najib memimpin jentera pilihan raya BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah natijah daripada kecacamerbaan imej ini.

Sebagai Perdana Menteri, Najib bukan hanya memerlukan majoriti, tetapi juga integriti. Apabila BN tewas pada 8 Mac 2008, segala kesalahan dilonggokan ke atas kepala Pak Lah. Seolah-olah semua ini adalah dosa Pak Lah dan bekas perdana menteri itu mesti bertanggungjawab ke atasnya.

Adakah kita lupa bahawa Umno/BN bukan ditadbir oleh Pak Lah seorang, tetapi semua pemimpin Umno/BN. Dahulu sebelum Pilihan Raya Umum 2008 ketika Pak Lah mengambil pendirian yang salah, mengapa mereka tidak menyanggahnya. Mengapa Najib berdiam diri sahaja? Malah Najib mempertahankan Pak Lah ketika diserang oleh Tun Mahathir.

Saya bukan dengki dengan Najib kerana dia menjadi Perdana Menteri. Tetapi saya mahu berperdanamenterikan seorang yang bersih dan dilihat bersih oleh rakyat dan dunia seluruhnya. Seorang perdana menteri yang bermoral, berintegriti dan mempunyai kredibiliti untuk memimpin rakyat.

Pada satu masa dulu, saya pernah difitnah oleh Utusan Malaysia kononnya saya mencabar Datuk Shaziman Abu Mansor (Menteri Kabinet) bertumbuk di Parlimen. Saya menyaman Utusan Malaysia untuk membersihkan nama dan mahkamah telah memberikan hak itu kepada saya. Utusan Malaysia diperintah oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi malu berjumlah RM120,000 kepada saya.

Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga pernah difitnah oleh Daily Mirror, sebuah akhbar di London yang mengaitkan presiden PAS dengan pengganas antarabangsa. Dan mahkamah di UK memerintahkan akhbar tersebut membayar ganti rugi malu kepada Presiden PAS Sebanyak RM500,000. PAS menyaman akhbar tersebut dan mereka terpaksa membayarnya.

Kami bukan mahukan duit mudah, tetapi nama dan maruah mesti dibersihkan, walaupun hanya sebagai seorang pemimpin kecil dan kerdil.

Najib sebagai perdana menteri mesti membersihksan diri dari semua tuduhan ini. Najib tidak boleh membiarkannya terus membarah dan memburukkan nama Malaysia dalam suasana ekonomi dunia yang suram ini.

Jika Najib terus membisu, rakyat akan bertanya mengapa Najib tidak berani untuk membersihkan namanya?

Kami menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana perkenan melantik memanda Perdana Menteri terakhir dari Umno/BN yang memudahkan kerja buat PAS dan Pakatan Rakyat!-

Tiada ulasan: