"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

8 menteri dan timbalan dinyahkan dari "Pasukan Baru"

Tarmizi Mohd Jam  

KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Dato' Seri Syed Hamid Albar yang menjaga Kementerian Keselamatan Dalam Negeri antara yang digugurkan sebagai menteri oleh Perdana Menteri yang baru, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Syed Hamid adalah menteri yang bertanggungjawab menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan, dua lidah rasmi parti alternatif, PAS dan KeADILan pada 23 Mac lalu.

Dan selepas 12 hari digantung larangan tersebut ditarik balik oleh Perdana Menteri dalam satu ucapan sulung Najib ke seluruh negara, selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Beberapa menteri yang dinyahkan dari "Pasukan Baru" Najib seperti yang diumumkan beliau petang tadi termasuklah Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Mohd Zin Mohamed, Datuk Amirsyam Aziz, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Ong Ka Chuan dan Datuk Zulhasnan Rafique. Turut digugurkan ialah timbalan menteri, Datuk Noraini Ahmad.

Manakala muka baru yang dibawa masuk semula menganggotai kabinet "Pasukan Baru" kali ini ialah Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar, Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Tan Sri Koh Tsu Koon, Mejar General Datuk Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Koh bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Perpaduan dan Prestasi Kabinet manakala Jamil Khir berhubung Hal Ehwal Agama Islam. Koh merupakan Presiden Gerakan yang turut dilantik sebagai Senator manakala Kong pula ialah Naib Presiden MCA.

Sementara itu, tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing iaitu Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan), Datuk Seri Khaled Nordin (Pengajian Tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (Kementerian Kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (Sumber Manusia).

Najib membuat sedikit perubahan apabila barisan kabinet yang diumumkannya hari ini juga menyaksikan jumlah kementerian berkurangan daripada 27 kepada 25 - ekoran penggabungan dua kementerian sebelum ini.

Tiada ulasan: