"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BUKIT SELAMBAU : YA HADIAH BERHARGA BUAT PM YANG BARU

Tidak ada apa yang dapat menjelaskan lagi tentang faktor kekalahan Barisan Nasional di dalam pilihanraya kecil dewan undangan negeri Bukit Selambau N29 kecuali ia merupakan satu "hadiah" paling berharga untuk Perdana Menteri yang baru Daro Seri Mohd Najib Razak.

S. Manikumar dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan memperoleh 12,632 undi dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk S. Ganesan yang memperoleh 10,229 undi dan 13 calon Bebas yang lain dengan majoriti 2,403 undi.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau, Datuk Abdullah Mat Akhir di Dewan Sekolah Menengah Teknik 1 kira-kira pukul 10.50 malam ini.

Kerusi itu pernah dimenangi oleh calon Bebas V. Arumugam setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 2,362 pada pilihan raya lepas, sebelum beliau menyertai PKR.

Kemenangan Manikumar dan PKR cukup mengkagumkan setelah mencari sasaran pelbagai taktik kotor dalam pertandingan 15 penjuru itu.

Walaupun pelbagai langkah diambil oleh Najib untuk menarik sokongan pengundi bagi calon MIC, termasuk membebaskan dua daripada lima tahanan Hindraf, pengundi di sini, sebagaimana di Bukit Gantang, tidak mudah termakan gula-gula politik Perdana Menteri.

Dua pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) V. Ganabatirau dan R. Kenghadharan telah dibebaskan tetapi mereka tidak dibenarkan tidak keluar daripada kawasan masing-masing, satu tindakan yang memalukan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang konon mahukan kebebasan kepada rakyat dan amalan demokrasi dipraktikkan dalam kepimpinannya.

Diperburukkan lagi dengan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican, pada sidang media khas sehari sebelum pilihanraya yang menyatakan Jawatankuasa Bebas Siasatan kes kematian A. Kugan yang cuba untuk menyelamatkan maruah polis yang tercalar ekoran kes tersebut.

Ia adalah sikap tipikal dan mentaliti hodoh "government servant" yang memperbodohkan rakyat serta melakukan kerja "mengampu" dan "membodek" keterlaluan.

Pelbagai taktik kotor digunakan UMNO-MIC-BN di Bukit Selambau bermula dari konspirasi meletakkan calon Bebas yang ramai, menggunakan polis utuk menyekat ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sehinggalah kepada projek membeli ketua-ketua bahagian PKR di hari-hari terakhir kempen - itu semua akhirnya memakan diri mereka semula.

Sementara itu, Manikumar ketika ditemui selepas diumumkan kemenangannya mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Bukit Selambau yang mengundinya serta jentera Pakatan Rakyat.

"Saya berterima kasih kerana pengundi memilih saya untuk memimpin mereka di masa hadapan dan saya berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Pakatan yang memutuskan kita perlu menang dalam pilihan raya ini bagi mempertahankan kerusi ini.

"Hari ini ia telah menjadi realiti dan kita akan berjuang dengan lebih tinggi selepas ini untuk menuju ke satu tahap yang teratas," katanya.

Dalam pada itu Naib Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan pilihan raya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang adalah referendum rakyat terhadap peralihan kuasa yang berlaku dalam kerajaan baru-baru ini.

"Walaupun Datuk Seri Najib memperkecilkan isu referendum rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tetapi hari ini terbukti bahawa rakyat Kedah dan Perak memberikan mesej yang jelas bahawa mereka tidak langsung yakin dengan kepimpinan baru Umno, BN dan kerajaan."

Faktor paling ketara yang menyumbang kepada kekalahan BN/UMNO kali ini ialah cubaan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk bertapak kembali dalam parti dan kerajaan.

Beliau turun padang pada hari terakhir kempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan membuat pengumuman terbuka bahawa beliau sedia menjadi penasihat kepada kerajaan Najib.

Imbauan kepada pemerintahan kuku besi Mahathir selama 22 tahun cukup untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak mahu pemerintahan Najib dikembalikan kepada zaman "Mahathirisme."

Keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuktikan rakyat tetap mahukan angin perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dan menolak pemerintahan yang berteraskan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mewarnai UMNO dan Barisan Nasional selama ini.


http://greenboc.blogspot.com/

Tiada ulasan: