"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukit Gantang: Pas Tidak Menang Semua!

SEMUA pihak sependapat bahawa kemenangan Pas di dalam pilihan raya Parlimen Bukit Gantang kelmarin kerana sokongan pengundi Cina. Baik BN, Pas dan penganalisa politik bebas bersetuju dengan hakikat itu. Berapa peratus undi Cina masuk ke dalam peti undi Pas, belum ada perangkaan yang tepat dan rasmi dikeluarkan.


Ada yang kata lebih 75%, ada yang kata lebih 80%. Berapa peratus pun hakikatnya Cina memberi kemenangan kepada Pas. Kemenangan kerana adanya semangat perkongsian untuk melihat UBN kalah.


Perkembangan ini – sokongan Cina melebihi 50 peratus mengejutkan. Ia membuka satu dimensi baru dalam politik berbagai kaum negara ini. Sekaligus orang Melayu melihat aliran ini dengan berbagai perasaan. Melayu Pas tentu gembira kerana orang Cina menyokong mereka, dan mereka mendapat kerusi itu. Manakala Melayu BN pula merasa sedih dan bimbang kerana sokongan itu bakal melemahkan kekuasaan politik mereka di masa depan sekiranya trend ini berkekalan.


Yang nyatanya Pas kini mula mengutip hasil dari penyemaian bibit politik baru dengan slogan Pas for all. Pas kini mula memasuki acuan politik baru. Dengan maslahat untuk mencapai kemenangan Pas rela meleraikan dasar Islam konservetifnya dan ternyata tindakan ini membawa hasil.


Berlainan pula dengan Umno. Kekalahan mereka kerana tidak mendapat undi Cina mengecutkan perut. Umno mula berfikir songsang kini kerana trend pengundi Cina juga mulai songsang. Kalau dulu Umno menguasai undi Cina dan menjadi sekutu terbaik mereka kini kezaliman itu sudah berubah. Sebab-sebab perubahan tersebut Umno ada jawabannya.


Saya sendiri dalam melihat perkembangan ini diasak oleh dua perasaan gembira dan cemas. Gembira kerana Pas kini sudah mula mengorak langkah ke arah pendekatan politik baru. Pas berjaya memecahkan kejumudan mengenai perbezaan budaya dan agama dalam berpolitik.


Perhubungan antara kaum, Pas, PKR dan DAP yang dapat saya saksi sendiri semasa ceramah di malam kedua terakhir di Tebok, Trong, Bukit Gantang sungguh mengharukan. Betapa ustaz Pas berkupiah bersalaman dan berdakapan dengan pemimpin PKR berbangsa India dan Cina. Saya tengok pemuda Pas tidak kekok untuk duduk berdampingan dengan isteri atau kekasih pemimpin PKR berbangsa Cina. Situasi ini sungguh muhibbah sekali dan tidak terfikir pada tahun-tahun 60-an yang akan berlaku demikian.


Manakala cemasnya tetap juga ada. Cemas kerana apakah Pas tepu dengan pengaruh politik baru yang dicipta Pas kini? Apa yang dibimbangkan disebabkan kerana acuan baru politik yang meletakkan kuasa dan kemenangan itu di hadapan menyebabkan keseronokan itu mengenepikan matlamat asal perjuangan Pas?


Bagaimana pun dalam hal ini Pas hendaklah perlu bijsak dan bersikap menyelam sambil minum dan harus mempunyai serampang banyak mata dalam mengejar matlamat asal jihad. Pas sesekali jangan mengalpakan prinsip perjuangan. Di sinilah saya merasakan peranan ulama yang progresif dalam Pas diperlukan sebagai pengawal menjaga garisan halal dan haram dalam kebebasan dan modenisasi siasah! Tidak harus semudah yang dirancangkan untuk mengenepikan peranan ulama.


Berbalik kepada kemenangan di Bukit Gantang tadi, Pas sebenarnya tidak boleh berseronok sangat kerana kemenangan itu hanya dimenangkan. Jika dilihat kepada sokongan Melayu Pas masih lagi berada di bawah Umno kira-kira 15% atau 20%. Paling penting bagi Pas kemenangan yang diraih kelmarin digunakan untuk mengembangkan pengaruh Pas di parlimen itu. Nizar Jamaluddin harus membuka pusat pengajian agama dan politiknya sendiri di Bukit Gantang untuk menggembur pengaruh Pas.


Secara umumya kemenangan Pas atas sokongan pengundi Cina dan India itu boleh disimpulkan seperti berikut;


  • Mereka sudah tidak mempercayai kepada BN yang ditulangi Umno sekarang ini yang semakin lemah dan menuju ke penghujung kekuasaan.
  • Mereka mempercayai kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim akan mengambil alih tempat BN. Dasar dan polisi Pakatan Rakyat lebih realistik berbanding BN yang bersemangat nasionalis sempit dan sukuan tebal.
  • Dasar atau ideologi campuran Pakatan Rakyat; Islam, sosial demokrat, dan multi racial memudahkan mereka larut di di dalamnya, termasuk mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan mereka.
  • Mereka menerima Pas dan Pakatan Rakyat kerana dalam pandangan mereka pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat masih bersih dan tidak terlibat dengan amalan rasuah. Kalau ada pun diperingkat kampung melibatkan jumlah kecil seperti berhubung pemeliharaan kambing dan penanaman sayur sahaja, itu adalah titik bengik bagi mereka meskipun dalam konteks agama ia sudah termasuk dalam dosa berat.
  • Mereka tertarik kepada Pas sebab Pas dapat menyesuaikan diri dengan kehendak mereka. Dasar Islam sejagat dan keadilan untuk semua dieksploitasikan sebaik mungkin. Mereka juga percaya dasaar Pakatan dan Pas lebih adil, terutamanya Pas yang terikat dengan prinsip dan falsafah Islam.

Itulah daya tarik atau kekuatan yang menyakinkan kaum Cina dan India untuk menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Makanya kebaikan dan amanah ini hendaklah dijaga seutuh mungkin oleh pemimpin Pas dan Pakatan. Paling penting menjaga perangai, sikap dan pembawaan di kalangan pemimpin.


Saya cukup percaya berdasarkan teori mengatakan kawasan pengundi yang Melayunya 90% ke atas akan dapat dikuasai Pas, manakala yang Melayu kurang antara 50% hingga 70% dikuasai PKR manakala yang bukan Melayunya 70% ke atas dikuasai DAP, jika tenaga ketiga parti ini boleh dikombinasikan dan mengekalkan momentum hari ini BN boleh jadi ghuyup pada pilihan raya umum akan datang.


Perubahan dalam Umno dan kepimpinan baru kerajaan di bawah Najib Razak dilihat tidak banyak membawa perubah postitif dan masih belum mampu menyekang pakatan itu yang semakin mendapat kepercayaan umum.  

 http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: