Peguam Sivakumar, Tommy Thomas, berhujah bahawa Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan bermaksud Sivakumar menikmati imuniti dan keputusannya mengisytiharkan kekosongan kerusi itu tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Katanya di bawah perkara itu Speaker juga diberikan keistimewaan dan kuasa menentukan isu membabitkan persidangan DUN dan keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Tommy juga berkata tindakan Sivakumar memaklumkan peletakan jawatan wakil rakyat berkenaan kepada SPR dan mengumumkan kekosongan kerusi itu adalah sebahagian daripada peranannya dalam persidangan DUN.
Beliau berhujah bahawa fungsi SPR seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih kepada fungsi pentadbiran yang berkaitan dengan pilihan raya seperti menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.
Seorang lagi peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah berkata di bawah Perkara 31 (1) Perlembagaan Perak, sebarang pertikaian yang timbul dalam persidangan DUN harus diselesaikan secara dalaman dan bukan untuk SPR atau mahkamah memutuskan.
"Dalam kes ini terdapat dua fungsi berasingan pengasingan kuasa dan pengasingan fungsi. Kuasa Speaker dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya manakala fungsi SPR lebih kepada urusan mengendalikan pilihan raya," katanya
Walau bagaimana pun Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa tiga wakil rakyat bebas di negeri itu masih kekal sebagai penyandang kerusi tersebut.
Hakim Alauddin dalam keputusan yang mencipta sejarah itu turut memerintahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan bukan Speaker DUN Perak S. Sivakumar.
Beliau berpendapat bahawa tafsiran Perkara 36 (5) Perlembagaan Perak, yang dibaca bersama Seksyen 12 (3) Akta Pilihanraya 1958, bermaksud SPR merupakan entiti sah untuk menentukan jika wujud kekosongan kerusi DUN Perak
Sivakumar, yang hadir di mahkamah, bagaimanapun, enggan memberi sebarang ulasan apabila ditanya pihak media mengenai keputusan itu.
Sumber : mStar Online http://alhusseyn51.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan