"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN, SPR Dan Polis Berpakat Melakukan Penipuan Di PRK Batang Ai

Pakatan Rakyat Menang Lebih 400 Undi Majoriti di Batang Ai
"Victory without glory", itulah kata-kata calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Jawah Gerang, terhadap kemenangan Barisan Nasional yang didakwa beliau dicapai melalui penipuan.

Beliau mendakwa  menang dengan majoriti lebih daripada 400 undi tetapi dinafikan kemenangan disebabkan penipuan yang dilakukan oleh BN dengan dibantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Sebagai mengukuhkan dakwaan beliau, Jawah berkata kira-kira 10 daripada sejumlah 24 peti undi di DUN Batang Ai didapati tidak berkunci dan ini menimbulkan kesangsian bahawa keselamatan peti-peti undi tersebut telah diceroboh. 

"Kita kalah di semua peti undi yang tidak berkunci itu tetapi menang yang mana peti-peti undi dikunci. Pada perkiraaan kasar kami, Pakatan Rakyat telah memenangi kerusi Batang Ai dengan majoriti lebih 400 undi." kata beliau ketika dihubungi TV Antara.

Mengulas dakwaan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kekalahan Pakatan Rakyat 7 April lalu disebabkan beberapa peti undi digugurkan ke laut dari helikopter dan perahu, Jawah, 55, berkata dakwaan itu ada kebenarannya.

"Sumber-sumber dalaman kami memberitahu bahawa pihak polis dan SPR mengadakan beberapa mesyuarat rahsia yang kami percayai ada hubung kait dengan manipulasi pilihan raya kecil ini. 

Bekas Ahli Parlimen Lubok Antu itu juga mendakwa BN telah melanggari peraturan pilihan raya dengan memberi rasuah, projek-projek pembangunan dan pelbagai janji bagi meraih undi.

Beliau mendakwa setiap rumah panjang di DUN Batang Ai didatangi oleh kira-kira 20 kakitangan Kemas dan Jasa.

"Mereka tinggal bersama-sama penghuni rumah panjang dan memaksa mereka menyokong BN dengan memberi wang antara RM50 sehingga RM1,500 seorang.
"Sekiranya SPR serius menguatkuasakan undang-undang pilihan raya mereka sepatutnya isytiharkan pilihan raya kecil Batang Ai batal kerana penyelewengan yang dilakukan BN," tegas beliau.

Jawah berkata lagi beliau dan penyokong Keadilan di DUN Batang Ai akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau segala janji-janji BN  berkaitan projek pembangunan di kawasan itu yang berjumlah RM80 juta.

Ini termasuk projek infrastruktur, jalur lebar, jalan raya dan lain-lain projek.

Mengenai sokongan pengundi Batang Ai terhadap Pakatan Rakyat, Jawah berkata kewujudan Keadilan di DUN tersebut baru kira-kira setahun  tetapi sudah pun ahli yang ramai sekitar 1,000 orang terutamanya dikalangan golongan muda. 

"Kami bertambah semangat untuk menumbang BN dalam pilihan raya negeri akan datang kerana apa gunanya kemenangan kalau menipu," ujar beliau.

Jawah berkata peguamnya kini sedang merangka tindakan undang-undang yang sesuai susulan dakwaan penipuan BN dalam pilihan raya kecil Batang Ai.
 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: