"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Referendum Bukit Gantang Bakal Ubah Senario Politik Negara


   

Kemenangan calon Pakatan Rakyat bagi kerusi parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin  memang sudah dijangka daripada mula kempen dijalankan.

Indikasi menunjukkan beliau akan menang antara 2,000 hingga 3,000 undi majoriti.

Malam ini telahan ini telah terbukti dan Pakatan Rakyat berjaya terus mengikis sokongan pengundi terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Walaupun Bukit Gantang dahulunya kubu kuat Umno dan Bn kemenangan Datuk Seri Nizar kini meranapkan mitos tersebut.

Kemenangan beliau mempunyai beberapa aspek yang signifikan dari segi geopolitik negara sejak negara mendapat Perdana Menteri baru  minggu lepas.

Pertama Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan majoritinya hampir dua kali ganda berbanding pilihan raya umum 2008 di mana penyandang sebelumnya, Roslan Shaharum daripada Pas memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,566 undi.

Kali ini Pakatan Rakyat menjulang kejayaan di Bukit Gantang dengan majoriti 2.789.

Kalau dilihat daripada jumlah undi, Pakatan Rakyat dan BN menunjukkan aliran peningkatan undi. Pakatan Rakyat mendapat kelebihan 1,845 undi sementara BN pula lebih rendah sebanyak 622 sahaja.

Ini membuktikan Pakatan Rakyat telah berjaya menarik lebih ramai pengundi ke pihaknya berbanding BN. ia juga dilihat sebagai penolakan secara berterusan pengundi bukan Melayu terhadap umno dan BN. Ini terbukti dengan 97 peratus undi penduduk Cina di Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang diberikan kepada Pakatan Rakyat. 

Malah ramai daripada penyokong Umno dikatakan tidak keluar mengundi kerana sudah meluat dengan amalan rasuah yang berleluasa dalam parti itu.

Bagi penyokong totok Umno mereka kini merasa berdosa sekiranya terus memberi undi kepada parti yang korup dan dibelenggu dengan seribu satu macam skandal dan masalah.

Kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar juga menghantar mesej yang jelas kepada pucuk pimpinan Umno dan BN bahawa pengundi Bukit Gantang khasnya dan rakyat negeri Perak amnya menolak politik kotor yang dimainkan oleh mereka 

melalui rampasan kuasa yang membolehkan BN berkuasa secara haram.

Seperti yang ditegaskan oleh beliau sepanjang kempen pilihan raya kecil, keputusan Bukit Gantang akan menjadi satu referendum yang amat penting dalam mencari penyelesaian  politik di Perak.

Ini bermakna rakyat Perak mendesak dengan suara yang padu agar dewan undangan negeri dibubarkan dengan segera dan pilihan raya negeri diadakan secepat mungkin.

Ia juga membawa maksud rakyat Perak menolak dengan sekeras-kerasnya peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat oleh rakyat Perak mendalangi rampasan kuasa haram 5 Februari lalu. 

Pengajaran ketiga yang penting yang diperolehi melalui keputusan ini ialah isu derhaka yang cuba diapi-apikan oleh Umno dan BN dalam kempen sebenarnya melantun ke muka mereka sendiri.

Rakyat tidak lagi percaya kepada tohmah dan fitnah yang ditaburkan oleh Umno dan BN malah apa sahaja dakwaan terhadap Pakatan Rakyat ditolak bulat-bulat oleh pengundi Bukit Gantang.

Bukit Gantang juga menjadi landasan baru yang akan menjadi titik tolak perubahan total dan menyeluruh yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam senario politik negara.

Konsep politik baru yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat nampaknya diterima baik oleh pengundi Bukit Gantang dan ini menjadi kayu pengukur bagi sentimen rakyat diseluruh negara.

Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan penolakan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan cubaan awal beliau untuk memberi "gula-gula" politik kepada rakyat melalui dua "hadiah" sempena perlantikan beliau tidak dihiraukan rakyat.

"Goodwill" yang ingin beliau tunjukkan pada hari kedua beliau memegang jawatan Perdana Menteri melalui pembatalan pengantungan permit akhbar Suara Keadilan dan Harakah selama tiga bulan oleh Kementerian Dalam Negeri dan pembebasan 13 tahanan ISA tidak sedikit pun memberi kesan kepada sentimen akar umbi di Bukit Gantang.

Malah sentimen ini juga menjalar ke Bukit Selambau yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan tersebut.

Kemenangan ini juga menjadi satu titik penilaian kepada kemampuan dan penerimaan rakyat terhadap timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi ketiga-tiga pilihan raya kecil yang diadakan serentak keputusan yang diumumkan menunjukkan beliau gagal dalam ujian pertamanya dan menampakkan kegagalan beliau untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada umno dan BN.

Umno dan BN kini dianggap harimau tua yang hanya mampu mengaum dalam keletihan dan meniti usia tua yang akhirnya akan menemui kematian yang sepi.

Datuk Seri Mohammad Nizar berkata pada salah satu ceramah beliau semasa berkempen mengajak pengundi Bukkit Gantang mengkafan dan mentalkinkan Umno dan BN.

Kini doa beliau telah dimakbulkan dan semoga kemenangan yang penuh bermakana ini di dua bukit akan diterjemahkan kepada perubahan drastik kepada cara Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang selama ini di hina dan dipijak-pijak oleh Umno dan BN.

Rakyat kini tertunggu-tunggu transformasi politik yang dijanjikan Pakatan Rakyat dan pengundi Bukit Gantang telah memulakan langkah pertama ke arah itu. Suka atau tidak Pakatan Rakyat kini sudah diterima rakyat sebagai gagasan politik alternatif kepada BN. 

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: