"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ditangguh, kes liwat Anwar bermula Feb 2

PUTRAJAYA, Jan 20: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sepatutnya diadakan pada 25 Jan, ditunda kepada 2 Feb sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuannya untuk mendapatkan dokumen berkaitan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Sharif serta Datuk Abdull Hamid Embong, hari ini gagal mencapai keputusan tentang rayuan Anwar itu dan menangguhkan keputusan mereka kepada 29 Jan.

Pada perbicaraan hari ini, panel hakim itu menangguhkan perbicaraan selama lebih kurang 40 minit untuk berbincang, selepas mendengar hujah peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Apabila perbicaraan disambung semula, Arifin memaklumkan kepada pihak terbabit bahawa mereka tidak dapat membuat keputusan hari ini dan memerlukan seminggu untuk berbuat demikian. Beliau berkata perbicaraan kes liwat itu boleh diteruskan pada 2 Feb selepas mereka memberi penghakiman.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Beliau merayu kepada Mahkamah Persekutuan supaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberinya kebenaran untuk mendapatkan dokumen berkenaan sebagai persiapan untuk membela diri pada perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan pihak pendakwaan dan menyekat Anwar daripada memperoleh dokumen berkenaan. Anwar meminta mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan, antara lain, rekod kenyataan saksi bagi pihak pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur dan nota ahli kimia serta laporan perubatan.

Mahkamah Tinggi membenarkan beliau mendapatkan semua dokumen tersebut, kecuali sampel DNA daripada Mohd Saiful.

Karpal Singh mengemukakan bantahan awal hari ini dengan berkata keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu kerana ia hanya satu keputusan dalam perbicaraan, yang tidak menolak hak mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Oleh itu, kata beliau, rayuan pihak pendakwaan dan rayuan balas Anwar sepatutnya tidak perlu dibuat kerana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, tidak boleh dirayu.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mencampuri kuasa budi bicara hakim Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada Anwar mendapatkan dokumen berkenaan.

Katanya Anwar hanya mahukan salinan dokumen berkaitan, bukan naskhah asal. Dalam hujahnya pula, Yusof berkata keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu kerana ia merupakan suatu perintah, bukan keputusan.

Kata beliau sesuatu perintah yaang dibuat oleh mahkamah mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah berkaitan pemerolehan dokumen, dianggap sebagai satu perintah muktamad. Sejajar dengan itu, beliau meminta Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. Anwar tidak hadir di mahkamah hari ini.
-Bernama-

Tiada ulasan: