"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dapat perhatian peringkat antarabangsa

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 19 Januari:
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa melahirkan rasa bangga kerana parti itu senantiasa menjadi perhatian pergerakan politik dan institusi akademik luar negara terutamanya membabitkan aktiviti kemasyarakatan serta penglibatan dalam bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Ini, katanya menunjukkan PAS mempunyai potensi yang cerah kerana penerimaan masyarakat terhadap PAS makin meningkat termasuk masyarakat luar negara.

"Semasa dalam satu seminar di Jepun, salah seorang pembentang kertas kerja membuat analisis tentang PAS, aktiviti dan penglibatan PAS di peringkat antarabangsa.

“Rupa-rupanya PAS disanjung di luar negara malahan diterima sebagai sebuah pergerakan politik yang berpotensi di masa depan," ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar Politik dan Pilihan raya PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh, Penanti, kelmarin.

Jesteru itu, katanya ahli PAS patut berbangga perkembangan tersebut kerana selama ini PAS dianggap 'parti kampungan' yang hanya bergiat aktif dalam Malaysia itu pun sewaktu pilihan raya sahaja.

Tambahnya, PAS sekarang bukan lagi parti untuk berjuang pada pilihan raya sahaja bahkan berjaya menembusi bidang dakwah sehingga berjaya menarik ramai bukan Islam menyertai parti itu.

Dengan tertubuhnya Kelab Penyokong PAS, ujarnya, menjadi medan terbaik untuk PAS bergerak sebagai pendakwah untuk menerangkan kebaikan Islam supaya mereka yang sudah dekat dengan PAS dapat menambah info terhadap Islam.

"Kita patut berbangga dengan perkembangan terkini tentang PAS kerana bukan sahaja mulai diterima di tanahair sendiri malahan di peringkat antarabangsa," tegasnya pada program anjuran Lajnah Politik PAS Pulau Pinang.

Maka sebab itu, katanya tugasan semua aktivis parti ialah meningkatkan prestasi agar penerimaan masyarakat terhadap PAS tidak luntur.

Program yang bertujuan untuk mencari formula terpenting memenangkan PAS di beberapa kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum akan datang itu turut mengundang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai pembentang kertas kerja.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Mujahid Yusof Rawa, ketua-ketua dewan, Ustaz Soid Mohd Amin (ulama), Ustazah Rahmah Md Isa (muslimat), Yusni Mat Piah (pemuda) dan seluruh pimpinan PAS kawasan dan cawangan.

Tiada ulasan: