"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seludup pasir: 34 ditahan kerana rasuah termasuk habuan seks

Asrul Hadi Abdullah Sani
PUTRAJAYA, Jan 20:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 orang di lima negeri termasuk dua ahli politik dan kakitangan awam kerana rasuah wang tunai dan seks, sebahagian langkah membendung aktiviti perlombongan pasir haram.

Kesemua mereka dijangka didakwa di mahkamah esok.

Dengan penahanan 34 mereka, SPRM percaya telah berjaya mematahkan sindiket menyeludup pasir ke sebuah negara asing.

Bagaimanapun SPRM tidak menamakan negara jiran itu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru mendakwa dalam tulisan blognya bahawa mengapa pasir masih dijual kepada Singapura.

Isu mengeksport pasir ke Singapura merupakan satu perkara yang sensitif dari segi politik kerana ia membabitkan hubungan dua hala kedua-dua yang agak ‘panas’ ekoran pertikaian berhubung jualan air dan pasir.

“Kami telah menahan 34 orang suspek. Seramai 24 adalah dari sektor awam, tiga dari sektor swasta dan lima adalah orang awam.

“Kami juga menahan seorang pegawai khas dan seorang setiausaha peribadi kepada seorang ahli politik,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pada sidang media petang tadi.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan negeri yang suspek-suspek berkenaan ditahan.

Tengah hari tadi seorang pembantu kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PKR ditahan.

Hussein Ahmad, setiausaha eksekutif kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Sumber Alam dan Pembangunan Keusahawanan SelangorYaakob Sapari ditahan di pejabatnya di

Shah Alam.

Mohd Shukri berkata tangkapan ini sebahagian daripada usaha membendung sindiket menyeludup pasir.

“Tahun lalu kami menerima 410 aduan berkaitan aktiviti menyeludup pasir tetapi kami hanya memulakan penahanan minggu lalu.

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 16 Akta SPRM,” katanya.

Mengenai bentuk rasuah, Mohd Shukri berkata ia termasuklah sekurang-kurangnya satu kes habuan seks ditawarkan, kepada kakitangan awam di lima negeri agar mempercepatkan proses permohonan melombong pasir.

Kata beliau, setakat ini pihaknya telah merampas RM50,000 daripada RM280,000 yang dibayar dalam bentuk rasuah wang tunai.

Beliau membayangkan lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Tiada ulasan: