"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz nafi Rumah Kelantan di KL dijual

KOTA BARU, Jan 23: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan kerajaan negeri telah menjual Rumah Kelantan, di Kuala Lumpur bagi menampung kos pengurusan kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Ketua Umno Bahagian Kota Baru Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Sebaliknya, kata beliau, bangunan yang terletak di Jalan Conlay itu hanya akan dimajukan oleh sebuah syarikat di ibu negara dan kerajaan negeri mempunyai kepentingan dalam projek membangunankan semula bangunan itu.

“Rumah Kelantan itu sebenarnya tidak dijual, tetapi akan dimajukan semula oleh sebuah syarikat dan kerajaan mempunyai kepentingan dalam projek itu,” katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan Ahli Parlimen Kapar, Selangor di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Mohd Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri bercakap kepada pemberita semalam mendakwa bahawa Rumah Kelantan yang terletak atas sebidang tanah kurnia di Jalan Conlay, telah dijual kepada seorang pengusaha tempatan.

“Ini antara beberapa bidang tanah dan harta rakyat yang dijual oleh kerajaan PAS Kelantan sejak parti itu memerintah hampir 20 tahun lalu,” kata Mohd Fatmi.
Mengulas isu itu Nik Aziz berkata perkara itu telah diputuskan oleh mesyuarat Exco sebelum ini dan bukan dibuat oleh seorang anggota Exco seperti yang didakwa.

Ditanya mengenai cadangan Exco Kanan Negeri, Datuk Husam Musa supaya Menteri Besar itu menyiasat pihak yang membocorkan mesyuarat Exco berhubung keputusan kerajaan negeri membayar balik kepada Syarikat Sensa Timur bagi projek pembinaan kompleks Bazar Tok Guru, Nik Aziz berkata:
“Saya tidak bercadang untuk menyiasat perkara itu kerana saya menyerahkan kepercayaan kepada pegawai saya. Saya meletakkan sangkaan baik kepada orang-orang di bawah saya,” katanya.

Pembayaran balik itu dikatakan menyebabkan kerajaan menanggung rugi.
Menurut Nik Aziz, beliau tidak nampak kemelut yang berlaku dalam PAS seperti yang dilaporkan oleh media sejak kebelakangan ini.

“Apa yang ditimbulkan itu ialah oleh musuh yang ingin mengkhianati parti dan mahu melihat perpecahan berlaku dalam PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aziz memberi kata dua kepada gabungan parti dalam Pakatan Rakyat bahawa mereka akan dipulau atau sebaliknya oleh rakyat jika mengamalkan gejala tidak sihat, seperti cah keting, kronisme dan rasuah serta tidak prihatin kepada rakyat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah parti tidak kekal dan diterima rakyat selamanya jika pemimpinnya tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

“Saya memberi ingatan kepada pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat supaya mereka menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dan tidak melakukan perkara buruk seperti cah keting, kronisme, rasuah dan sebagainya.
“Sebaliknya, mereka akan terus diterima rakyat dan menjadi sebuah kerajaan yang berwibawa,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen kawasan itu, S. Manikavasagam dan Ketua PKR cawangan Kapar, Mohd Bakir Abd Wahab.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: