"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Projek memasyarakatkan PAS di Sabah berhasil

Rusly Yasmin
SEPANGGAR, 18 Jan:
Dewan Pemuda PAS Pusat yakin projek memasyarakatkan PAS di Sabah akan berjaya dan mendatangkan hasil yang lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Keyakinan itu dilahirkan oleh ketuanya, Nasrudin Hasan ketika dihubungi pagi tadi. Beliau bersama rombongan pulang ke ibu negara kira-kira jam 6 pagi ini.

"Segalanya bergantung kepada kesungguhan, keiltizaman dan keberanian rakyat Sabah untuk melakukan perubahan," ujarnya.

Menurutnya, rakyat Sabah mempunyai pengalaman dalam pertukaran kerajaan berbanding negeri-negeri di Semenanjung dan tidak mustahil mereka akan beralih kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya, pengalaman lebih 10 tahun pemuda PAS di negeri ini kini membawa mereka memasuki fasa kedua dalam mencorak perubahan di samping jentera Pemuda PAS Sabah telah disiapkan dengan penuh disiplin bagi menggerakkan seluruh jentera dan aktiviti ke arah memenangi pilihan raya umum nanti.

"Beberapa pelan tindakan strategik telah siap dilancarkan dan kini ia berada di atas landasan menuju kejayaan dan kemenangan," katanya penuh yakin.
Beliau berkata, tinjauan pihaknya mendapati rata-rata penduduk negeri ini yang ditemui khususnya semasa lawatan ke lokasi-lokasi tertentu seperti pasar tamu, perkampungan dan juga taman perumahan melahirkan rasa kekecewaan kepada BN.

"BN gagal membela nasib rakyat Sabah sehingga mengekalkan kedudukan mereka dalam kemiskinan sungguhpun negeri ini negeri yang kaya dengan hasil mahsul negeri yang dikurniakan oleh Allah," katanya.

Katanya, anak-anak muda di negeri ini juga sudah mula memberikan perhatian kepada kehadiran PAS dan PR ekoran Sabah dilihat sangat tertinggal dari beberapa aspek seperti pendidikan dan pembangunan.


Di samping itu, masih wujud perkampungan yang daif terletak di tengah-tengah bandar raya Kota Kinabalu yang pesat membangun sementara pendidikan pula terlalu terkebelakang jika dibandingkan dengan di Semenanjung.

"Berberapa aktiviti yang telah dilakukan oleh Pemuda PAS Pusat bersama Pemuda Sabah sangat positif dan insya Allah satu komitmen yang tinggi akan diberikan kepada negeri Sabah bagi memastikan PAS dan PR bertapak kukuh,” katanya.

Pagi kelmarin, beliau mengetuai pemuda mengedarkan risalah dan akhbar Harakah secara percuma kepada pengunjung-pengunjung Tamu Putatan.

Sebelah petang pula, beliau menziarahi pasar Philipines dan program ditamatkan dengan ceramah pentas pemuda di Putatan.

Beliau turut merakamkan sekalung tahniah buat Pemuda PAS negeri yang mula menunjukkan potensi untuk menjadi sebuah gerakan yang berkesan di negeri ini.

Tiada ulasan: