"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam: PAS perlu disiplinkan ahli elak ‘cah keting’

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 19: PAS tidak harus memandang ringan budaya ‘cah keting’ yang diakui Datuk Nik Abdul Nik Aziz wujud dalam parti itu, sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas untuk mendisiplinkan ahlinya.

Disebabkan isu itu mula diperkatakan, ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa berkata, persekitaran itu perlu dikenal pasti dan program pendisiplinan wajar dilakukan dengan bijaksana dan tegas.

“Isu ‘cah keting’ adalah isu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh mencemarkan nama baik PAS yang selama ini dikenali sebagai parti yang berdisiplin dengan pemimpin dan ahli yang jujur.

“Fenomena sedemikian perlu dikenal pasti dan program pendisiplinan perlu dilakukan dengan bijaksana dan tegas.

“Islam sangat menekankan disiplin yang tinggi pada para pejuangnya dan mempunyai tatacara disiplin yang lengkap,” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Malah isu-isu kebelakangan ini yang menyelubungi kepimpinan kerajaan negeri Kelantan juga dilihat usaha cah keting atau cantas-mencantas dalam PAS.

Bekas naib presiden itu menambah budaya itu tidak harus dibiarkan tanpa diuruskan tetapi “langkahan disiplin perlu segera digerakkan.”

“Islam, dalam konteks ‘governance’, menekankan dua perkara individu yang terbina atas dasar taqwa dan mempunyai nilai-nilai personaliti kukuh yang terbina secara dalaman.

“Kedua, sistem luaran yang boleh mencegah dan mengelakkan apa-apa ciri buruk yang disebutkan oleh (Ketua Pemuda PAS) Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi,” katanya.

Sehubungan itu Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan ini menambah, dalam konteks ini, sudah sampai masanya semua pemegang jawatan kerajaan terutama pemimpin dan petugas parti mengisytiharkan kekayaan dan harta mereka dari masa ke semasa kepada satu badan tertentu yang bebas.

Ia boleh mengelakkan sesiapa sahaja pemimpin yang jujur dan bersih dari apa jua tuduhan seperti tamak dan menyeleweng.

“Pemuda PAS dan Pemuda Umno rasa saya, boleh bersetuju jika mereka memang sehati sejiwa menentang keburukan dari kesempatan pangkat dan kedudukan,” katanya.

Tulisan beliau hari ini turut berkait dengan komen beliau dua hari lalu agar siasatan diadakan bagi menyiasat bocornya maklumat mengenai pembelian semula Bazar Tok Guru di Kota Baru oleh kerajaan negeri.

Beliau mengusulkan perkara itu kepada Menteri Besar agar langkah tersebut penting bagi mengelakkan perbuatan menuding jari serta prasangka yang berterusan di antara satu sama lain.

“Jalan yang paling mudah rasa saya ialah Tok Guru (Nik Aziz) memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya,” kata beliau.

Maklumat mesyuarat exco pada minggu lepas itu didedahkan oleh Syed Azidi Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella.

Syed Azidi, orang kuat Husam, mendakwa kerajaan Kelantan kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Nik Abdul Aziz.

Berikutan pendedahan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan dilapor meminta Nik Aziz menyiasat kebocoran maklumat tersebut kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: