"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Islam iktiraf hak bukan Islam guna kalimah Allah

Dzulfikar Mashoor & Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Feb:
Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menegaskan bahawa perintah membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah 'Allah' merupakan suatu hak yang diiktiraf di sisi Islam.

"Isu ini (kalimah Allah) bukan menentukan agama siapa benar dan agama siapa yang salah. Ini adalah hak yang diiktiraf oleh suatu agama pada suatu agama yang lain," jelas beliau dalam Forum Kalimah Allah di sebuh hotel di sini, malam tadi.

"Ini bukan dialog teologi atau perbandingan agama, sejauh mana kadar untuk mereka (bukan Islam) dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah'."

Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) turut mempersoal tindak-tanduk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana melarang masyarakat bukan Islam di Selangor dari menyebut nama 'Allah'.

"Jais gantung kain-kain rentang nama Allah untuk orang Islam sahaja, tetapi lagu negeri Selangor pun disebut nama Allah, takkan Jais nak tangkap orang bukan Islam yang menyanyikan lagu negeri dengan menyebut nama 'Allah'," ujarnya.

Jelasnya, pada logo polis pun terdapat kalimah Allah sedangkan logo tersebut turut dipakai oleh anggota-anggota polis yang bukan beragama Islam.

"Sepatutnya polis bersama-sama Jais tak boleh tahan masyarakat bukan Islam yang menyebut (kalimah) Allah, mereka kena tahan mereka dulu yang masuk Selangor kerana Selangor melarang orang bukan Islam (dari) menyebut 'Allah'," jelasnya.

Beliau yang juga pakar hadis mendedahkan suatu hadis sahih daripada Imam Bukhari sendiri pun merakamkan bahawa Raja Rom bernama Hercules turut diriwayatkan menyebut kalimah 'Allah'.

"Hercules bertanya dia (Abu Sufian) banyak soalan, antara yang diriwayatkan Imam Bukhari: Sebelum dia (Nabi Muhammad s.a.w) diutuskan menjadi seorang rasul, pernahkah kamu menuduh dia sebagai pembohong," jelasnya.

Menurut beliau, Abu Sufian yang ketika masih tidak memeluk Islam berkata 'tidak', lalu Hercules berkata bahawa mustahil Muhammad itu berbohong menggunakan nama 'Allah'.

"Lalu Hercules berkata: Kalau Muhammad ini kepada manusia pun tidak berbohong, maka fahamlah aku bahawa mustahil dia berbohong atas nama 'Allah'."

"Hercules sebut nama Allah (walaupun) dia Raja Rom, dia Kristian...terjemahan Abu Sufian adalah dia (Hercules) menyebut nama 'Allah' dan terjemahan itu ada di dalam Sahih Bukhari," jelasnya.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng kemudiannya mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mula bergiat menghalang penerbitan akhbar mingguan The Herald terbitan Katholik bukan disebabkan akhbar itu memohon menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mereka.

Sebaliknya, menurut dakwaan Chua, KDN berasa tidak selesa apabila mendapati kandungan The Herald cenderung menyokong parti-parti pembangkang ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu.

"Sewaktu Bersih (Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil) mengadakan demontrasi besar-besaran di ibu negara, The Herald Katholik menerbitkan di muka hadapan majalah itu gambar-gambar dan tulisan-tulisan menyokong Bersih," jelasnya.

"Apabila KDN yang dimiliki oleh Umno menyedari tentang itu, Umno mendapati Kristian di negara ini banyak menyokong pembangkang khususnya PAS, di samping PKR dan DAP yang boleh menjejas Umno (dalam) PRU12, mereka mula mengharamkan The Herald."

Katanya lagi, usaha mengharamkan penerbitan The Herald bukan disebabkan faktor agama, tetapi demi menjaga kepentingan Umno.

Ekoran itu, menurut beliau, pihak Gereja Katholik terpaksa menggunakan 'jalan Mahkamah' dengan memohon menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald demi mencegah konspirasi Umno tersebut.

Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi menjelaskan bahawa rasa bimbang yang bersarang di kalangan umat Islam disebabkan tidak rela kalimah 'Allah' digunakan secara yang salah.

Pun begitu, menurut beliau, umat Islam tidak berhak melarang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah 'Allah' itu.

"Kita tak ada hak melarang mereka (bukan Islam) nak guna kalimah Allah, tapi jika mereka guna secara salah dan inilah menjadi asas kebimbangan umat Islam dalam negara kita," jelasnya.

Bercakap di depan lebih 500 hadirin dari pelbagai agama, beliau secara peribadi melahirkan rasa bimbang sekiranya kalimah 'Allah' itu diletakkan di restoran-restoran yang menjual produk atau makan tidak halal, yang akhirnya mengelirukan umat Islam.

Disebabkan kebimbangan tersebut, beliau menggesa pihak berwajib supaya menjelaskan 'kadar’ menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat Islam secara undang-undang yang praktikal.

Dalam forum tersebut, beliau turut mengulangi ketetapan PAS iaitu masyarakat bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, tetapi tidak boleh digunakan pada tempat yang salah serta bertujuan menyampaikan dakyah ke atas umat Islam sendiri.

Forum anjuran Lajnah Penerangan Pemuda PAS Pusat itu turut menampilkan ketuanya, Suhaizan Kayat selaku moderator.

Tiada ulasan: