"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasan Ali: ‘Saya tidak menderhaka titah Sultan Selangor’

SHAH ALAM, 29 April: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali (gambar)membuat laporan polis bagi menjelaskan tuduhan yang beliau menjadikan masjid sebagai medan untuk berpolitik semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor itu tidak benar.

“Tuduhan itu tidak benar dan saya juga tidak menderhaka titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” kata beliau dipetik Bernama.

Kata Hasan, beliau juga ingin menjelaskan yang ketika itu beliau tidak tertinggal mana-mana rukun khutbah seperti yang dituduh.

Hasan yang juga Exco kerajaan negeri berkata, selama 40 tahun beliau membaca khutbah tiada sebarang laporan dibuat mengenai perkara tersebut.

“Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang berada di masjid tersebut juga telah mengesahkan saya tidak tertinggal sebarang rukun khutbah ketika itu,” katanya.

Ada pihak mendakwa beliau telah tidak membaca salawat ke atas Nabi s.a.w dalam khutbahnya.

Semalam beliau membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya berhubung tuduhan membaca khutbah berbaur politik ketika solat Jumaat di Masjid As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 23 April lepas.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira pukul 3 petang terhadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, Pengerudi Yayasan Basmi Kemiskinan Datuk Zainal Sakom yang juga bekas Adun Batang Kali dan Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno menyifatkan tindakan Hasan menyampaikan khutbah berbaur politik di masjid tersebut sebagai menderhaka kepada titah Sultan.

Ahmad Zahid berkata, Hasan sepatutnya bijak membuat pertimbangan dan tidak mengambil kesempatan semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung untuk menyampaikan mesej perjuangan sehingga sanggup mengetepikan perintah Sultan.

“Dr Hasan Ali adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama.

“Beliau sepatutnya mematuhi apa yang dititahkan oleh tuanku Sultan. Bukan menyanggah apa yang dititahkan.

“Sultan adalah ketua agama dan titah baginda harus dipatuhi. Tuanku dah titahkan bahawa masjid jangan digunakan sebagai tempat untuk berpolitik. Ini maknanya dia derhaka pada tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah),” katanya sehari sebelum hari pengundian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri itu didakwa menyampaikan khutbah berunsur politik sehingga terlupa membaca selawat nabi ketika menjadi khatib di masjid itu.

Ahmad Zahid berkata, kejadian terlupa membaca selawat Nabi yang juga merupakan rukun khutbah perlu dijadikan iktibar kerana ia mungkin berlaku akibat keangkuhan mereka untuk terus berkuasa.

Ahmad Zahid berkata, sudahlah perbuatan itu dikira menderhaka, jemaah masjid itu juga terpaksa menanggung akibat kerana sembahyang mereka dikira tidak sah.

Katanya disebabkan kealpaan tersebut, ramai daripada jemaah terpaksa menggantikannya dengan bersolat Zohor.

Sultan Sharafuddin dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor supaya memastikan rumah ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: