"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kickdefella dakwa dibiaya RM4 juta burukkan Pak Lah

KUALA LUMPUR, 29 April: Blogger Kickdefella, yang sebelum ini menjadi tumpuan kontroverasi Menteri Besar Kelantan dan menantunya, mendakwa telah dibiayai RM4 juta untuk memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Usaha memburuk-burukkan Abdullah yang menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009 dikenali sebagai Operasi Gerak Saraf, kata Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam tulisan terbaru blognya.

Beliau menambah usaha berkenaan dijalankan bagi membolehkan PAS mudah mengatasi Barisan Nasional untuk kekal berkuasa.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Kata Syed Azidi, beliau telah membelanjakan sejumlah wang itu sepanjang tiga tahun berkhidmat di Kelantan.

“Sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Kelantan, saya telah membelanjakan sejumlah hampir lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operasi, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan Operasi Gerak Saraf.

“Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu,” katanya.

“Dari mana saya mendapat wang sebanyak itu bagi mengendalikan Operasi Gerak Saraf untuk mewujudkan persepsi yang boleh melemahkan Perdana Menteri Abdullah seterusnya mempermudahkan bagi PAS menewaskan Barisan Nasional di Kelantan?” katanya.

Sehubungan itu kata Syed Azidi, yang pernah dilihat sebagai orang kanan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa menulis, beliau mencabar blogger Rahman ‘Tulang Besi’ menyiasat dan mendedahkannya sekali dengan nama individu yang membiayai aktiviti Operasi Gerak Saraf itu dan jumlahnya sekali di blognya.

“Pada waktu yang sama saya mencabar Setiausaha Akhbar Tuan Guru Nik Aziz yang baru itu (Ahmad Fadhli Shaari) untuk menyiasat apa yang saya buat dengan pembiayaan wang sebesar itu.

“Jika ada bukti saya menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi, saya berharap beliau sertakan buktinya sekali,” katanya.

Syed Azidi juga mencabar Rahman agar mendedahkan dakwaannya bahawa beliau sekarang dibela oleh seseorang.

“Jikapun dia tidak mampu mengemukakan bukti, setidaknya, sebut nama orang tersebut dengan jelas,” katanya.

Tulisan terbaru Syed Azidi ini muncul dua hari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan akan memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan ke atas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

SPRM berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes membabitkan Nik Aziz dan menantunya.

Dalam tulisannya, Syed Azidi berkata, “kata orang, kalau kita mahu memerangkap seseorang, jangan ditanya padanya soalan yang kita sendiri tidak tahu jawapannya.”

“Nanti habis kita dan sahabat kita pula yang terjerat,” kata Syed Azidi sambil menambah, beliau tidak peduli sangat Setiausaha Akhbar Menteri Besar yang baru itu, tetapi lebih prihatin dengan Rahman ‘Tulang Besi’.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: