"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perangi rasuah, usah biar jerung terlepas

ABD JALIL ALI

Sekiranya anda menerima rasuah RM100, anda dalam bahaya. Ada sebab untuk anda tidak tidur, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa anda di mahkamah. Kemungkinan anda disabitkan kesalahan – dan dijatuhkan hukuman – adalah tinggi, hampir 100 peratus.

Tetapi, sekiranya anda dituduh terlibat dalam rasuah bernilai RM1 juta, atau ratus-ratus juta, anda tidak semestinya dalam bahaya. Sementara menunggu perbicaraan anda boleh terus hidup dalam kemewahan: rumah besar, kereta besar, makan angin luar negara, dan kalau nasib baik boleh kahwin dua. Ada kemungkinan anda didapati tidak bersalah, dan akhirnya dilepaskan begitu sahaja.


Contoh: Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam awal tahun lalu, dan di akhir perbicaraan telah dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000. Jika dia gagal membayar denda tersebut dia akan dipenjara 10 bulan.

Kesalahannya, seperti pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, ialah dia telah secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM150 (Ringgit Malaysia seratus lima puluh sahaja) daripada seorang pelanggan untuk mempercepatkan proses pemasangan telefon di rumah pelanggan berkenaan.

Saya tidak akan menyebelahi kepada mana-mana perasuah. Setiap orang mesti menentang rasuah, tidak kira walaupun yang diterima hanya seringgit. Hatta setengah sen pun jika diterima secara rasuah, tetap salah. Sekiranya yang melakukan rasuah setengah sen itu orang Islam, dia tetap berdosa. Oleh itu hukuman yang telah dijatuhkan hakim ke atas juruteknik tersebut, adalah wajar.

Satu contoh lagi: Seorang kenamaan telah dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah beratus-ratus ribu ringgit, sebagai imbuhan kerana meluluskan satu projek pembangunan hartanah bernilai beratus juta ringgit. SPRM yang membuat dakwaan tersebut, setakat rencana ini ditulis, masih berputih mata sebab Yang Arif mendapati tidak ada ‘prima facie’ untuk kes tersebut.

Mahkamah telah menjalankan tugasnya dengan sempurna. Undang-undang patut dipatuhi. Sekiranya tidak cukup bukti, tuduhan sehebat mana pun susah untuk lekat. Orang kenamaan yang dituduh rasuah itu tersenyum hingga ke telinga. Harap-harap SPRM akan merujuk kes ini ke mahkamah yang lebih tinggi, supaya kalau betul rasuah telah dilakukan, hukuman mesti dilaksanakan.

Walau tidak disebutkan nama yang terlibat, apa yang saya contohkan ini bukan rekaan, tetapi fakta yang diperoleh dari SPRM. Lagi pun ini bukan rahsia. Semua orang boleh melihat contoh-contoh ini, juga senarai panjang kes-kes lain yang telah dihadapkan ke mahkamah, secara ‘online’. Lawatilah laman web rasmi SPRM di ‘http://www.sprm.gov.my/’. Sama-samalah kita membenci, dan memerangi rasuah.

Pada hemat saya rasuah sama seperti pelacuran, sama juga seperti perjudian. Kita sudah menubuhkan bermacam agensi untuk memerangi pelacuran, tetapi pelacuran merebak di merata-rata tempat. Bukan rahsia lagi bahawa sebahagian wanita warga asing yang masuk sebagai pelancong menggunakan visa ketika tiba (VOA), akhirnya dibawa ke rumah-rumah pelacuran. Kita ada berbagai agensi melawan judi, tetapi judi haram berleluasa hingga di bawah tangga.

Rasuah kita pun sentiasa membiak, melibatkan bukan sahaja anggota polis berpangkat rendah, kerani, dan tukang cari fail, tetapi juga orang-orang politik berkelas tinggi, ketua pengarah, CEO, tauke kecil, tauke besar, hatta menteri. Ulang: hatta menteri! Ini pun bukan rahsia lagi, dan bukan baru terjadi setahun dua ini.

Dulu ada Badan Pencegah Rasuah (BPR), kemudian tukar nama menjadi Biro Siasatan Negara (BSN), kemudian tukar semula kepada BPR, dan akhir sekali menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sudah berapa kali nama ditukar, orang ramai masih mengeluh, dan bertanya benda yang sama: Kenapa yang masuk ke jaring hanyalah ikan bilis, ikan jerung terlepas.

Pelik, biasanya orang menjaring, memukat, menjala, atau melukah, yang akan melekat dan tersangkut adalah ikan-ikan besar, termasuk penyu, dugong dan buaya tembaga. Ikan-ikan kecil seperti seluang atau anak sepat dapat meluluskan diri. Ini bukti bahawa jaring rasuah berbeza betul dengan jaring nelayan!

Tidaklah saya memperkecil dan memperlekah SPRM dan agensi-agensi melawan rasuah sebelum ini. Sebenarnya mereka – tidak kira BPR atau SPRM – telah bekerja hempas pulas, tidak kira siang atau malam, untuk menyiasat dan mencari bukti. Malah, sejak dulu lagi kita telah diberitahu banyak kes besar – antaranya melibatkan beberapa menteri dan bekas menteri – telah dilengkapkan fail siasatan. Tetapi sampai sekarang orang ramai masih menunggu bila mereka akan didakwa? Atau, apakah fail mereka akan terus ditutup?

Tidak kira seluang atau ikan paus, kita perlu memerangi rasuah habis-habisan, dengan menjayakan ‘Kempen Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah’ yang baru dilancarkan di seluruh negara dua hari lalu.

Tiada ulasan: