"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Tembak Budak Baik, Rakan Tangisi Pemergian Aminul

SHAH ALAM, 28 APR: Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan Aminulrashid Amzah yang diziarahi tiga rakan karib mangsa dan beberapa pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 di sini, petang tadi.

Mereka duduk secara berkumpulan di sisi kubur Alllahyarham dan berdoa supaya kejadian yang menimpa mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Ketika ditemui TV Selangor di tanah perkuburan Seksyen 21 Shah Alam, seorang dari mereka, Mohd Haikal Che Harun, 15, kelihatan sugul dan menangis apabila ditanya mengenai sifat peribadi arwah.

“Saya kenal Allahyarham masa tadika lagi. Masa kecil lagi saya kenal dia. Kami main bola setiap hari, memang rapatlah. Dia memang baik, dia peramah. Mana ada ada merompak-merompak ini, tidak pernah.

“Allahyarham memang baik sebab saya kawan dengan dia dari kecil. Keesokan hari sekitar jam 11 atau 12 saya dapat tahu melalui kawan saya, saya terus terduduk, terus menangis.”

“Masa mula-mula tahu saya tak percaya dan petang semalam sudah hendak kebumi. Ramai kawan-kawan tak percaya sebab semalam baru elok-elok main bola. Esok dah tak ada, memang tak percaya.

“Polis memang tak patut la tembak,kalau boleh tembak tayar ini tembak kepala pula memang tak patutlah”,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Haikal juga mendedahkan beliau hampir menyertai mangsa menaiki kereta pada malam kejadian tetapi entah mengapa menukar fikiran.

“Mula-mula Allayarham mahu pergi Seksyen 7, tengok bola. Dia ajak saya, saya tak ikut. Saya kata pada Aminul, tak payahlah sebab esok sekolah.

"Dia cakap hari ini hari last aku pergi, dia cakap last masa tu, saya tak sedar. Lepas itu betul-betul last, esok dah tak ada,” katanya.

Zaid Zainuddin, 16, pelajar Sekolah Menengah Seksyen 19, juga sedih dan kecewa dengan kejadian berkenaan yang menyebabkan beliau kehilangan seorang rakan karib.

“Saya tak tau nak cakap apa. Dekat sekolah memang rapat dengan dia. Lepas itu dia pergi kejap sebab dulu dia cakap nak belajar sama-sama, nak duduk sama-sama, pergi mana-mana sama-sama, saya sedih bila polis buat macam ni,” katanya.

Zaid marah dan kesal dengan laporan media arus perdana yang sewenang-wenang menampal label arwah sebagai penjenayah biarpun Aminulrashid baru berusia 15 tahun dan masih belajar.

“Saya geram dengan berita budak 15 tahun menyamun. Saya tengok berita TV3, Bernama, Astro Awani cakap jumpa parang. Kita orang sedih dan kecewa dengar berita macam itu, tak bolehlah macam tu.

"Kenapa budak ditembak macam itu?” katanya, sayu.
-tvselangor-

Tiada ulasan: