"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menang Pilihanraya Kecil,Salahkan Kaum Cina

Hj. Nasruddin Hassan
Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menyifatkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Ibrahim Ali yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) serta Dato' Seri Mohd.Khir Toyo, ADUN Sg.Panjang dan juga Ketua Pembangkang DUN Selangor bersifat perkauman dan menghina kaum cina di negara ini.

Dato’ Ibrahim Ali dalam kenyataannya berkata pihak kerajaan harus menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum cina yang dianggap sebagai ‘tidak berterima kasih’ dan ‘tidak menghargai’ atas segala jasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kaum itu.

Dato’ Seri Mohd.Khir Toyo pula menuntut supaya dasar kerajaan yang memberi kelebihan kepada golongan Cina "dikaji semula" supaya lebih memberi penghargaan kepada masyarakat Melayu dan India.

Kenyataan ini keluar setelah melihat sokongan yang diberikan oleh kaum cina kepada Pakatan Rakyat (PR) jauh lebih tinggi berbanding yang mengundi BN di Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor 25 April yang lalu.

Jelas kenyataan ini berbaur perkauman dan berunsur ugutan yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan dikalangan kaum cina. Ini juga bercanggah dengan konsep ‘1 Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak serta amalan demokrasi dalam negara kita. Kenyataan mereka ini boleh mengakibatkan suasana yang tidak stabil diantara kaum.

Tidak sepertimana PR umumnya dan PAS khasnya sentiasa berusaha menjadikan Malaysia negara yang aman damai dan berbilang agama,kaum dan bangsa. Walaupun dalam mana-mana pilihanraya, PR tidak pernah menyalahkan mana-mana kaum sekiranya mengalami kekalahan.

Dengan ini, DPPP menggesa agar pihak polis mengambil tindakan tegas keatas mereka ini berdasarkan ucapan yang berbaur perkauman ini. DPPP juga meminta agar mereka menarik kembali kenyataan yang telah mereka keluarkan dan meminta maaf secara terbuka serta bertanggungjawab atas kenyataan mereka yang ‘racis’ ini.

HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Tiada ulasan: