Nurwani Ahmat
Gejala sosial yang berlaku di Malaysia semakin kritikal terutamanya kes-kes yang melibatkan remaja yang merupakan generasi pemimpin pada masa hadapan. Isu ini telah dibahaskan bertahun-tahun lamanya oleh pimpinan kerajaan, badan-badan NGO, namun penyelesaiannya masih belum menampakkan hasil.
Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini yang meminta ibu bapa melakukan pengawasan yang ketat terhadap anak remaja mereka sebagai pendekatan yang boleh mengurangkan risiko, bukanlah satu penyelesaikan terbaik.
Dalam banyak kes, ibu bapa sering menjadi ’mangsa’ sesuatu kesalahan itu diletakkan. Adakah remaja, generasi terkini tanggungjawab institusi keluarga sahaja? Ada yang kata bukan salah ibu mengandung maka siapakah yang harus dipersalahkan?
Cuba kita bayangkan keadaan sesetengah ibu bapa yang bekerja siang malam mencari rezeki untuk hidup pada zaman ekonomi yang sangat kritikal ini. Ada antara mereka yang bekerja shift malam atau bekerja lebih masa untuk mencari lebihan pendapatan.
Adalah cukup sukar bagi mereka mengawal aktiviti anak-anak di sebelah malam jika pada waktu yang sama terpaksa menjalankan tanggugjawab mencari rezeki menampung kehidupan seharian. Tambahan pula jika hidup di bandar-bandar besar yang membuka 1001 peluang hiburan untuk remaja-remaja melakukan aktiviti tidak bermoral.
Dalam konteks gejala sosial dan jenayah yang cukup kronik masa kini, semua pihak sering menyalahkan antara satu sama lain tanpa memikirkan ’ramuan terbaik’ untuk mengurangkan dan sekaligus menyelesaikan permasalahan yang wujud. ’Ramuan terbaik’ itu tak lain dan tak bukan hanyalah kembali kepada Islam.
Kementerian pendidikan perlu menghasilkan ’formula’ terbaik silibus pendidikan supaya anak-anak ini dikenalkan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mewujudkan lebih banyak program kesedaran yang mengunakan ’ramuan terbaik’ mengikut acuan Islam agar ibu bapa dapat diterangkan tentang peranan mereka mendidik anak-anak mengikut kaedah Islam.
Kementerian Belia dan Sukan perlu memikirkan ’resepi’ yang berlandaskan syarak’ bagi menarik remaja untuk aktif dalam aktiviti sukan dan kesenian. Apa yang kita lihat masa kini, remaja-remaja kita bergaul bebas dalam aktiviti sukan dan hiburan yang melampau. Majoriti remaja masa kini telah sesat jalan dan adanya yang telah rosak aqidah kerana hilangnya pegangan tentang ajaran agama.
Kementerian Penerangan perlu memastikan program-program hiburan yang dipaparkan tidak menggalakkan anak-anak remaja ke arah perlakuan maksiat. Banyak program-program hari ini mendedahkan kehidupan bebas remaja yang mengikut trend semasa dan majoriti ’idol’ yang ditonjolkan sama sekali tidak mengikut cara hidup Islam yang betul. Selain itu, anak-anak sekarang lebih dimomokkan untuk takut dengan ’hantu’ melalui drama-drama seram dan ngeri berbanding takutkan Allah dan Pencipta mereka. Remaja sekarang lebih mudah percaya apa yang ada di kaca TV daripada percaya dengan nasihat ibu bapa dan guru.
Jika semua pihak menjadikan Islam sebagai POLISI atau DASAR dalam perlaksanaan sesuatu program, aktiviti dan pelan tindakan; maka sudah pastinya gejala sosial dan jenayah yang menghantui kita selama ini dapat dikurangkan dan seterusnya dibasmi sebaik mungkin.
Lantaran itu, saya menyeru kepada semua pihak sama ada ibu bapa, pemimpin, pihak berkuasa dan masyarakat agar menjadikan ISLAM sebagai ’formula’ atau ’ramuan terbaik’ mengatasi sebarang masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian. Marilah kita sama-sama membawa anak-anak kita, remaja kita yang telah sesat jalan untuk kembali menghati ajaran Islam.
Ingatlah dan renungkanlah pesanan terakhir Nabi Muhammad s.a.w buat ummatnya "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
Nurwani Ahmat
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS N. Sembilan
Exco Dewan Muslimat PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan