"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Editor penyebar fitnah perlu dirotan 80 kali

LanH

SEPANJANG saya belajar ilmu kewartawanan, tidak pula saya diajar matlamat membenarkan cara (Machiavelli) yang menyebabkan wartawan dan penulis tersungkur dalam lembah kehinaan. Tetapi inilah yang berlaku hampir setiap hari jika dilihat daripada penulisan laporan dan komentar dalam media massa tanah air ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Wartawan adalah kerja mulia, tetapi wartawan sendiri menyebabkan kerjaya mereka dipandang hina. Bayangkan segala fitnah (muntahan beracun) pemimpin ditangkap muat dan disiarkan dalam akhbar tanpa ditapis atau difikir-fikirkan kebenarannya. Memang betul wartawan bagaikan posmen, menghantar maklumat daripada Y kepada Z, tetapi apakah wajar segala najis yang diposkan, dihantar kepada penerima.

Pos Malaysia pun tidak menghantar semua serahan kepada si penerima. Malah awal-awal lagi bungkusan mencurigakan ditolak. Antara ditolak adalah bahan mudah hancur, ubat-ubatan dan sudah tentu bahan letupan. Tetapi media massa kita nampaknya menerima saja bahan fitnah pemimpin E untuk diletupkan di muka pemimpin A. Dan A pula tidak langsung diberi peluang untuk menjawab. Demikianlah betapa jahatnya media massa Malaysia hari ini.

Wartawan atau penulis perlu ingat apa yang mereka sampaikan itu, dosa dan pahalanya akan mereka tanggung secara berkekalan sehingga berakhirnya kesan daripada penulisan mereka itu. Ya, ia mungkin tidak akan berakhir sehinggalah dunia ini kiamat. Jadi bayangkan berapa juta pahala atau dosa (ribuan tahun kesan positif atau negatif akibat tulisan) yang akan dihimpunkan oleh seseorang wartawan itu.

Jika seorang penulis menghasilkan karya yang menjurus kepada kebaikan, pahala kebaikan daripada usahanya itu akan terus dinikmatinya sekalipun dia sudah berada ribuan tahun dalam kubur namun seorang wartawan yang menghasilkan tulisan berupa racun fitnah, dosanya akan ditanggung berterusan sehinggalah kesan daripada tulisannya itu berakhir. Bagaimana ini akan berakhir sedang keburukan itu akan diturunkan daripada satu generasi kepada generasi lain?

Imam Syatibi Rahimahullah di dalam kitabnya ‘Al Muafaqat menyatakan: “Beruntunglah sesiapa yang mati dan mati bersama-sama dosa-dosanya, dan celaka yang berpanjangan bagi sesiapa yang mati dan dosa-dosanya terus kekal berterusan 100 tahun dan 200 tahun diazab dengannya di dalam kubur…”

Mengenai bahana menolong menyebarkan berita fitnah seperti yang berlaku setiap hari sekarang ini, Haji Ahmad Haris Suhaimi dalam kitabnya ‘Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun’ (Penerbit HRs Consultant, Singapura) antara lain menulis: “Menolong menyebarkan fitnah jahat tidak kurang besar tanggungan dosanya seperti juga orang yang mula-mula menimbulkan fitnah itu.

“Sebab itulah apabila berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana orang-orang munafik mula menyebarkan berita fitnah terhadap Saiyidah Aishah r.a., suaminya iaitu Rasulullah s.a.w., maka beberapa sahabat juga (kerana terlupa) turut menyebarkan berita fitnah ini tanpa membuat penyelidikan dahulu.

“Maka setelah agak lama berlakunya penyebaran fitnah sehingga menyusahkan hati baginda s.a.w. baharulah setelah itu wahyu diturunkan untuk membersihkan Saiyidah Aishah r.a. daripada tuduhan itu. Lalu hukuman hudud iaitu rotan 80 kali dikenakan terhadap mereka yang mula-mula membawa fitnah ini dan juga MEREKA YANG MENOLONG menyebarkan fitnah ini, walaupun jika ada yang mendakwa mereka hanya menyampaikan berita itu saja.”

Sejak akhir-akhir ini media massa begitu giat menolong menyebarkan dakwaan pemfitnah. Pembuat fitnah mendakwa pelbagai perkara termasuk perkara keji seperti liwat. Tidakkah sesuatu dapat dipelajari daripada kisah Aisyah yang difitnah itu?

Jika sahabat yang tanpa sedar telah terbabit menyebarkan berita fitnah mengenai Aisyah, dikenakan rotan 80 kali, tidakkah EDITOR dan wartawan yang menolong menyiarkan berita fitnah termasuk dalam kes liwat layak DIROTAN 80 KALI?

Demikianlah betapa Islam memandang serius perkara membabitkan fitnah ini.

Selanjutnya, Haji Ahmad Haris Suhaimi menulis: “Ingatlah selalu pesanan Allah SWT kepada kita dalam menghadapi cerita-cerita yang tidak baik tentang orang lain dengan firman-Nya yang bermaksud ‘(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita (bohong) itu dari mulut ke mulut, dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal ia di sisi Allah adalah besar’. (Surah Al-Nur Ayat 15)

“Dan ingatkan pesanan Rasulullah s.a.w. tentang maruah seorang Muslim dengan sabda baginda yang bermaksud: ‘Maruah seorang Muslim itu adalah satu lubang daripada lubang-lubang api nereka’. Ini bermaksud, jangan suka memburuk-burukkan peribadi seorang Muslim, kerana perbuatan itu seperti bermain dengan lubang-lubang api nereka.

“Apapun jika seorang Muslim itu terbukti bersalah sekalipun, kita disunatkan menutup keaibannya, melainkan kesalahannya sudah terlalu amat besar yang mana ia perlu diberitahu kepada pihak berkuasa.

“Ingatlah selalu firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 192 yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh!”

Tiada ulasan: