"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Aminulrashid tuntut reformasi menyeluruh institusi polis

NIK NAZMI NIK AHMAD

Kita baru sahaja dikejutkan dengan satu lagi kes tembakan polis, melibatkan Aminulrashid Amzah, pelajar 15 tahun yang meninggal dunia di Shah Alam. Kejadian terbaru ini sebahagian daripada 'insiden tembakan untuk membunuh' (shoot to kill) yang menjadi semakin serius akhir-akhir ini.

Saya hadir bersama-sama YB Yaacob Sapari, YB S Manikavasagam, dengan peguam-peguam keluarga Aminul, iaitu N Surendran, Latheefa Koya dan Puspawati Rosman ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 27 April lalu ketika keluarga pelajar itu membuat laporan polis terhadap insiden tersebut.

Sukar membayangkan penderitaan yang dialami keluarga Allahyarham kecuali kita sendiri pernah melalui pengalaman serupa.
Aminul dimaklumkan keluar bersama rakannya dengan kereta Iswara kakaknya pada awal pagi 26 April. Menurut pihak polis, dia cuba melanggar pihak polis sebelum anggota polis menembak tayar kereta tersebut. Polis kemudian mendakwa menjumpai parang di dalam Iswara tersebut.

Rakan Aminul yang bersamanya memberi keterangan berbeza: mereka sedang pulang dari restoran, dan kebetulan memotong sebuah kereta polis yang kemudian mengejar dan menembak mereka. Kereta tersebut berhenti dan rakan Aminul cuba merangkak keluar tetapi ditendang dan ditumbuk ketika cuba menyerah diri. Dia kemudiannya melarikan diri sebelum membuat laporan polis kemudian.

Surendran juga menyangkal kenyataan pihak polis. Menurut Surendran, kenyataan Aminul cuba melanggar polis dan mempunyai parang di dalam keretanya adalah satu penipuan. Kesemua tembakan adalah dari belakang mangsa, termasuk tembakan yang membunuhnya. Polis kemudian mendakwa Aminul cuba melanggar mereka dengan mengundurkan Iswara yang dibawanya.

Keluarga dan jiran Aminul menganggapnya seorang remaja yang baik, rajin ke surau. Kakak Aminul pula menyatakan cuma payung, bukannya parang yang ada di dalam keretanya. Mungkin seperti remaja lain (termasuk diri kita dahulu) Aminul ada kenakalannya, tetapi adakah hukuman kenakalan dengan menembak bunuh?

Bukan kes asing

Lebih menakutkan lagi, kes yang menimpa pelajar 15 tahun ini bukan insiden terasing, tetapi melanda rakyat Malaysia yang lain.

Kejadian ini hampir sama dengan kejadian tembakan terhadap Norizan Salleh, 30, di Segambut tahun lalu. Dalam kes Norizan, dia bernasib baik terselamat daripada insiden tersebut untuk menyampaikan kisahnya. Dia mendakwa sebuah MPV menghampiri kereta yang dinaikinya bersama rakan-rakan. Secara tiba-tiba terdapat tembakan dari MPV ke arah mereka. Salah satu daripada lima tembakan tersebut terkena pada dadanya hingga darah mengalir tanpa henti. Apabila keretanya berhenti, polis menghalakan pistol kepadanya. Norizan yang tidak bersenjata meminta bantuan polis, tetapi ditendang dan dipijak belakangnya sehingga patah tulang rusuk. Dia pada masa itu dikepung 10 kereta polis.

Norizan kemudian dihantar ke hospital, dirawat selama 11 hari di bawah pemantauan polis. Sehingga hari ini dia tidak didakwa di mahkamah atas apa-apa kesalahan. Polis memaklumkan kepada hospital Norizan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan perlu menanggung kos perubatan RM20,000 sendiri.

Apabila Norizan membuat laporan polis terhadap insiden tersebut, tiada tindakan lanjut diambil. Malah rakan-rakan yang bersamanya turut mengadu diseksa oleh polis.

Polis mendakwa mereka mengesyaki sesuatu yang tidak betul terhadap kereta Norizan. Kereta peronda cuba menghentikan kereta tersebut, namun tidak diendahkan dan kereta Norizan memecut ke hadapan. Lebih banyak kereta peronda turut sama mengejar kereta Norizan. Sama seperti kes Aminul, polis mendakwa kereta Norizan cuba merempuh beberapa polis di jalan raya dan kemudiannya menjumpai senjata dalam kes Norizan.

Pada November 2009, kita dikejutkan pula dengan kes kematian Tawfiq Noorzan yang berusia 22 tahun di Perlis. Dalam kes ini bapa mangsa mendakwa Tawfiq digari sebelum ditembak polis. Pihak polis mendakwa cuba menembak kaki Tawfiq tetapi terkena dadanya apabila Tawfiq dikatakan hendak menyerang rakannya.

Sebelum kes Norizan dan Tawfiq ada lagi kes kematian enam orang di Kulim dan 5 di Klang di tangan polis secara aneh pada 2009. Kes kematian A Kugan di dalam tahanan pula berlaku pada Januari 2009.

Kesemua kes ini merupakan fenomena membimbangkan. Ya, polis mendakwa insiden ini berlaku ketika mereka menjalankan tugas memerangi jenayah. Namun fakta-fakta kes ini terlalu aneh. Dalam kes Norizan dan Aminul, bukankah polis sepatutnya menembak ke arah tayar kenderaan dahulu, bukannya kepada individu di dalam kereta? Kejadian kematian mangsa tembakan yang lain juga menimbulkan tanda tanya terhadap kesahihan fakta diberikan pihak polis.

Prosedur penggunaan senjata api oleh polis adalah jelas:

1. Mesti melepaskan tembakan ke udara terlebih dahulu
2. Sekiranya tidak berkesan, tembakan perlu dihalakan ke paras bawah pinggang, lebih tepat, kaki
3. Sekiranya masih tidak berkesan, barulah tembakan boleh dihalakan kepada penyerang.

Kuasa menyiasat Suruhanjaya Diraja

Bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan ini, seharusnya sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan kuasa menyiasat kes-kes mangsa tembakan polis. Ini satu-satunya cara meraih kembali keyakinan rakyat terhadap institusi Polis Diraja Malaysia dan membolehkan ramai lagi anggota polis yang berkhidmat dengan baik meneruskan kerja mereka dengan terhormat. Panel siasatan yang diketuai Timbalan Menteri sebagaimana disuarakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn tidak mampu melihat isu ini secara menyeluruh dan mengembalikan keyakinan orang ramai.

Jika siasatan mendapati mangsa-mangsa ini dibunuh dengan sengaja, maka anggota polis yang bertanggungjawab mestilah didakwa atas tuduhan bunuh Seksyen 302 Kanun Jenayah.

Malah sekiranya cadangan Suruhanjaya Diraja tentang PDRM pada 2004 dahulu agar diwujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dilaksanakan, kita tidak perlu menubuhkan satu lagi Suruhanjaya Diraja (dan apa gunanya menubuhkan Suruhanjaya Diraja jika cadangannya terus tidak dihiraukan Kerajaan?). Padahal IPCMC bukan cadangan pembangkang, tetapi diketengahkan oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah dan mantan Ketua Polis Negara Tun Muhammad Hanif Omar bagi memulihkan kewibawaan polis. Namun Kerajaan Persekutuan telah menolak cadangan tersebut.

Pakatan Rakyat telah menyatakan sokongan terhadap kewujudan IPCMC, selain meningkatkan kebajikan pihak polis dalam Dasar Bersama yang dilancarkan tahun lalu.

Kita boleh belajar dari pengalaman negara lain memperkenalkan reformasi dalam polis mereka. Sebelum ini, Royal Ulster Constabulary (RUC), pasukan polis di Ireland Utara – yang terperangkap di dalam pergelutan antara masyarakat Protestan dan Katolik – mempunyai imej yang negatif khususnya di kalangan masyarakat Katolik. Justeru sebuah Suruhanjaya Bebas ditubuhkan pada 1998 bagi mengatasi persepsi negatif yang membelenggu RUC.

Beberapa perubahan diperkenalkan berikutan laporan Suruhanjaya Bebas tersebut bagi meningkatkan kebertanggungjawaban dan kebebasan pasukan polis yang dinamakan Police Service of Northern Ireland (PSNI). Sebuah lembaga polis mentadbir PSNI manakala badan ombudsman (hisbah) ditubuhkan untuk mengendalikan sebarang aduan atau dakwaan salah laku anggota polis. Lembaga polis tersebut dianggotai semua parti politik dan juga individu yang dihormati bagi membolehkan semua masyarakat Ireland Utara dapat menerimanya. Sebuah Historical Enquiries Team (Pasukan Penyelidikan Sejarah) pula ditubuhkan bagi menyiasat lebih 3,000 kematian yang tidak diselesaikan ketika konflik di Ireland Utara antara 1968 – 1998.

Kita perlu memikirkan secara serius cadangan ini. Ketika kita berhadapan dengan insiden-insiden tragis ini, kadar jenayah terus serius. Saban hari saya menerima aduan dari penduduk DUN Seri Setia tentang masalah jenayah. Walaupun polis terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan saya cuba mengambil langkah proaktif sebab saya yakin semua perlu main peranan bagi menanganinya. Tidak semua kita mampu hidup dengan kawalan keselamatan peribadi atau kediaman berpagar. Saya anjurkan dialog cegah jenayah dan menggalakkan aktiviti Rukun Tetangga.

Saya mempunyai hubungan baik dengan ramai anggota polis dan mereka sering mengadu kepada saya tentang kekurangan anggota dan campur tangan politik pihak atasan. Namun ironisnya, cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk menubuhkan sebuah pasukan Polis Bantuan telah ditolak Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan selepas lebih setahun tiada jawapan walaupun kemudiannya dialu-alukan Menterinya, Hishamuddin.

Saya faham ramai anggota polis menjalankan tugas mereka dengan baik dan cuba sedaya upaya membanteras jenayah. Namun kejayaan ini hanya dapat dicapai dengan sokongan dan penyertaan masyarakat. Jika kewibawaan polis tidak dipulihkan mana mungkin masyarakat memberikan sokongan. Cuba kita bertanya pada diri sendiri, siapa mahu anak-anak mereka dibesarkan dalam keadaan mereka takut terhadap polis yang sepatutnya melindungi mereka? Sebab reformasi menyeluruh institusi polis bukan lagi pilihan tetapi adalah kemestian. Kita menantikan keazaman politik bagi menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

Berapa lagi Aminul, Tawfiq, Norizan dan Kugan harus membayar dengan nyawa mereka bagi kita melihat reformasi ini menjadi realiti?

Tiada ulasan: