Wan Nik Wan Yussof
Banyak pihak berpandangan peranan media massa, khususnya surat khabar adalah penyampai maklumat dan pencetus kesedaran rakyat. Peranan itu amat popular zaman berzaman. Di atas kekuatan peranan media massa inilah, maka setiap kali kempen pilihan raya media massa telah dimanfaatkan sebagai penghubung antara parti, calon dan pemimpin parti dengan pengundi. Ini kerana media massa, khususnya surat khabar dan radio-tv dapat memanjangkan isu-isu pilihan raya yang dibangkit oleh parti-parti yang bertanding.
Namun, peranan media massa akan dipertikaikan apabila terlibat dengan penyebaran maklumat yang berat sebelah atau tidak adil dalam laporannya. Perkara ini akan berlaku tatkala media massa berkenaan mula dipengaruhi agenda tersembunyi (the hidden agenda) oleh pihak tertentu. Lebih teruk lagi apabila media massa berkenaan telah dipengaruhi matlamat perniagaan dan putaran isu sensasi yang memacu circulation dan volume pembaca atau penonton.Justeru itu, peranan dan pengaruh media massa arus perdana, khususnya surat khabar dan radio-tv dikira paling tinggi pengaruhnya. Ia menyebabkan pihak kerajaan telah mengawal sepenuhnya agenda berita media massa arus perdana bagi memastikan segala program dan dasar-dasar kerajaan dapat diterima oleh rakyat.
Walau pun begitu, peranan media massa musim kempen pilihan raya paling jelas menjadi mata rantai kepada agenda parti-parti yang bertanding, bukan lagi penyambung dasar kerajaan. Semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor (17-25 April 2010) kempen Barisan Nasional jelas dimanipulasikan untuk menghentam dan memburukkan calon, pemimpin dan parti lawan – Pakatan Rakyat.
Malah secara sedar akhbar dan radio-tv dilihat berperanan mengikut selera parti berkuasa (Barisan Nasional) yang mengawal atau memiliki kepentingan dalam media massa berkenaan. Tujuannya tidak lain ialah untuk mempengaruhi pemberitaan/pendedahan isu supaya rakyat responsif dan positif kepada parti/pihak calon Barisan Nasional.
Walau bagaimana pun, apa jadahnya pihak pengurusan media massa dikuasai Barisan Nasional semasa pilihan raya Hulu Selangor apabila didapati begitu ghairah mensasarkan pukulan maut (killing characters) terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Hassan Ali. Isu yang digunakan adalah penggunaan masjid untuk tujuan politik dan diadukan dengan perintah Sultan Selangor dan larangan jabatan agama Islam Selangor.
Berikutan kehadiran Tuan Guru sekembali daripada umrah di tanah suci, nyata perangkap media massa telah di pasang, apabila pemberita upahan dari media masaa berkenaan menghujani persoalan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan politik (musim pilihan raya).
Perangkap yang sama dikenakan terhadap Datuk Hassan tatkala Datuk Zahid Hamidi dan akhbar Utusan Malaysia (pada sehari sebelum hari mengundi dan diulangi lagi pada hari mengundi 25 April) turut memfitnah khutbah Datuk Hassan didakwa tidak sah kerana tidak disebut selawat nabi. Hal inilah menyebabkan Datuk hassan mengemukakan saman terhadap Zahid dan Utusan Malaysia.
Persoalannya, apakah permainan media massa tersebut adalah didorong secara rasional oleh disiplin media massa, atau didorong oleh kehendak Barisan Nasional yang terdesak dan inginkan kemenangan besar majoriti 6,000 undi seperti mana disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin (Malaysiakini, 25 April). Apa pun, pihak media massa berkenaan nyata akan mencapai peningkatan volume penonton dan pembaca.
Apa yang pasti, permainan media massa tersebut telah membawa impak negatif terhadap integriti menteri besar Kelantan atau menjejaskan reputasi exco kerajaan negeri Selangor. Apa yang penting, cara pemberitaan yang bernada fitnah itu sudah pasti akan dipuji Umno dan semua orang Umno akan tertarik membeli dan membacanya. Hal ini terbukti apabila pihak jentera Barisan Nasional turut mengedar secara percuma akhbar tersebut kepada pengundi pada tarikh-tarikh kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Apa pun, peranan media massa harus dipadukan dengan moral. Sewajarnya pemain dan pengamal media massa dan kapitalisnya harus melihat prinsip kebenaran dan keadilan. Prinsip ini boleh dijayakan sekiranya melihat secara tawaduk nilai mengutamakan moral di dalam proses maklumat (moral first in information). Sebenarnya prinsip ini hanya ada kepada pemain, pengamal dan kapitalis media massa yang beragama sahaja.
Jika begitu, mungkin radio-tv dan akhbar berkenaan adalah kelompok media massa yang tidak termasuk di dalam lingkungan media massa beragama. Selayaknya, akhbar yang memfitnah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Datuk Hassan atas isu yang dicipta itu sebenarnya layak diberi title 'media pembuli' dan rasionalnya ia disaman.
Semoga Tuhan yang Esa memberi petunjuk dan hidayah ke atas golongan pembuli dan masukkan iman serta takwa di lubuk hati mereka. sedia hadapi tindakan Umno.
Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
merangkap Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan