Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata kerajaan negeri melalui bahagian perumahan sedang mengenal pasti jumlah penghuni yang tidak membuat bayaran setelah menduduki perumahan tersebut sejak lebih 10 tahun lalu.
"Kita sedang membuat kaji selidik, adakah mereka ini tidak mampu atau sengaja tidak mahu bayar. Sekiranya mereka tidak mampu kerana kesusahan, kita boleh berunding.
"Kalau mampu, langkah yang ada, kita panggil mereka untuk membuat penjadualan semula pembayaran. Itu tindakan kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tegasnya, berdasarkan perjanjian sewa beli rumah, kerajaan negeri boleh merampas rumah tersebut sekiranya gagal mendapat kerjasama daripada penghuni rumah awam tersebut.
Bagaimanapun, Phahrolrazi yang juga ADUN PAS dari Pengkalan Kundor berkata tindakan tersebut adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri.
Phahrolrazi mengulas kebimbangan penduduk di Taman Wira Mergong berhubung ura-ura kerajaan negeri akan menyerahkan kuasa menuntut hutang perumahan awam kepada pihak bank.
Taman tersebut dibina lebih 20 tahun lalu yang terdiri daripada kira-kira 2,500 rumah melibatkan sekitar 10,000 penghuni.
Phahrolrazi berkata terdapat sebahagian penghuni di taman tersebut ada membayar kadar sewa yang ditentukan sebanyak RM124 kepada dan terdapat sebahagian tidak membayarnya.
Bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan jumlah sebenar bilangan yang membayar dan tidak membayar hutang tersebut.
Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang untuk memberi kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang tersebut.
"Tindakan terrsebut akan merupakan langkah terakhir kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
"Kita hendak tahu kumpulan yang mampu bayar (atau tidak). Pegawai perumahan di bawah kerajaan negeri sedang mengkaji latar belakang mereka yang tidak membayar termasuk
(menentukan) tindakan yang diambil," katanya sambil menambah tindakan tersebut bermula sejak bulan lalu.
Phahrolrazi berkata hutang sebanyak RM27 juta yang dikenalpasti adalah meliputi keseluruhan perumahan awam di negeri itu antaranya di Langkawi, Baling, Sik, Kuala Kedah dan di Paya Nahu dalam parlimen Sungai Petani.
Beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah mendakwa kerajaan dahulu gagal bertindak untuk menuntut tunggakan hutang daripada penghuni perumahan awam sejak lebih 10 tahun dahulu.
Ditanya mengapa kutipan itu dibuat pada masa sekarang, Phahrolrazi berkata, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutip segala hutang yang tertunggak untuk memperbaiki rekod pentadbiran kerajaan negeri.
Dilaporkan Februari lalu, kira-kira 200 wakil penduduk taman berkenaan berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan negeri menyerahkan kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang perumahan awam.
Sementara itu, Pengerusi Rukun Tertangga (RT) kawasan perumahan itu, Ahmad Mashan Mat Isa memberitahu Malaysiakini bahawa RT di situ akan melancarkan kempen bulan depan untuk menggalakkan penghuninya membayar hutang perumahan mereka kepada kerajaan negeri.
Ia ekoran penduduknya bimbang rumah mereka akan dirampas sekiranya kerajaan negeri meneruskan hasratnya untuk menyerahkan kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang mereka.
Ahmad Mashan berkata, butiran lanjut mengenai kempen itu masih belum diputuskan oleh RT taman berkenaan.
"Kita akan bayar (tunggakan) supaya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap kami," katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan