PETALING JAYA: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain hari ini membuat laporan polis mendakwa dia dipukul ketika berada di dalam tahanan reman.
Suspek membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan dikawal ketat beberapa anggota polis sambil diperhatikan oleh dua peguam yang mewakilinya Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam.
Suspek yang merupakan seorang peguam dilihat masuk ke dalam balai polis itu untuk membuat laporan pada kira-kira pukul 4.15 petang dan keluar kira-kira lebih satu jam kemudiannya dengan menaiki kereta polis.
Ravi Nekoo berkata pihak polis memberikan kerjasama baik dengan membenarkan suspek membuat laporan polis terhadap dakwaan dikasari sehingga mendatangkan kecederaan di belakang badan.
"Suspek dikatakan akan dihantar ke hospital untuk rawatan, tetapi tarikh dan hospital mana belum pasti lagi," katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Petaling Jaya.
Pada 23 September lepas, D.P Vijandran yang merupakan seorang daripada peguam yang mewakili suspek mendakwa bahawa salah seorang anak guamnya dipukul dan ditendang sehingga mendatangkan kecederaan di belakang badan.
Perkara itu dakwanya dimaklumkan oleh anak guamnya ketika pertemuan pertama Vijandran dan dua anak guamnya selama 15 minit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Sejurus itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin meminta suspek utama kes pembunuhan itu membuat laporan polis sekiranya mereka dipukul dan dipaksa menandatangani dokumen oleh pasukan itu sepanjang berada dalam tahanan agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan