"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemalangan maut: Meronta sebelum maut

LENGGONG: “Saya sempat melihat seorang kanak-kanak meronta- ronta di atas riba neneknya di bahagian depan tempat duduk penumpang. Saya cuba mengangkatnya, namun gagal kerana kakinya tersepit,” kata Mohd Razli Ahmad, 56, saksi terawal nahas mengorbankan tiga sekeluarga dalam kejadian kemalangan di Kilometer 42.7, Jalan Kuala Kangsar – Grik berdekatan Kampung Lahar, di sini, semalam.
TERSADAI…kereta Proton Wira dipandu Tajul tersadai di atas besi penghadang jalan menyebabkan terselamat daripada jatuh ke dalam gaung dalam.
TERSADAI…kereta Proton Wira dipandu Tajul tersadai di atas besi penghadang jalan menyebabkan terselamat daripada jatuh ke dalam gaung dalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, tiga beranak, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mariah Ahmad, 61, cucu lelakinya, Mohd Mukmin Abdul Lajis, 4, dan bapa Mohd Mukmin yang juga pemandu, Abdul Lagis Zakaria, 42, yang semuanya berasal dari Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Kedah.

Anggota keluarga mereka yang lain pula mengalami kecederaan, termasuk bapa Abdul Lagis, Zakaria Jasin, 67, Ghatimah Mun, 80, dan anak perempuan Abdul Lagis, Norashikin, 17, sementara seorang lagi belum dikenal pasti dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK).

Pemandu sebuah lagi kereta yang dirawat di Hospital Gerik ialah penuntut Universiti Teknologi Mara, Tajul Khairil Mohamad, 22, dari Pulau Rusa, Terengganu yang cedera di kepala.

Mohd Razali yang juga Ketua Kampung Lenggong berkata, dia kesal kerana gagal mengeluarkan kanak-kanak berkenaan dan masih tidak dapat melupakan saat-saat akhir penderitaan yang dialami mangsa sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya sudah cuba sedaya upaya mengangkatnya keluar tetapi tidak berdaya kerana kakinya turut tersepit di antara bahagian kereta yang remuk,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Tajul Khairi yang memandu sebuah lagi kereta berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Pulau Rusa, Terengganu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta memasuki laluan menyebabkannya terpaksa mengelak ke kanan jalan.

Dia cuba mengelak daripada bertembung, namun gagal lalu merempuh bahagian kiri kereta mangsa sebelum terbabas.

“Saya pandu pada kelajuan sederhana ketika kejadian. Kereta mangsa meluncur laju sebelum memasuki laluan saya menyebabkan saya terkejut sebelum cuba mengelak daripada bertembung,” katanya ketika ditemui selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Lenggong.

Tajul berkata, dia bersyukur kerana keretanya terbabas dan tersadai di atas besi penghadang jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, dalam kejadian itu, Mariah dan Mohd Mukmin meninggal dunia di tempat kejadian manakala, Abdul Lagis meninggal dunia sejurus tiba di HKK.

“Mayat Mariah dan Mohd Mukmin dibawa ke HKK untuk bedah siasat, manakala tiga ahli keluarga mangsa yang cedera turut dibawa untuk menerima rawatan.

Tiada ulasan: