"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tembak mati 5 lelaki di Kuantan


KUANTAN: Polis menembak mati lima lelaki dipercayai warga asing di Indera Mahkota di sini selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T Narenasagaran, berkata sebelum kejadian semua lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam satu kejadian samun membabitkan empat sekeluarga di Balok Baru dekat sini 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa telah diikat namun salah seorang anak mangsa yang ketakutan telah menjerit menyebabkan penjenayah melarikan diri bersama telefon bimbit, kad ATM, barang kemas dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah motokar di jalan Kuantan By Pass yang dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, polis cuba menahan kenderaan terbabit namun ia terus memecut laju.

Narenasagaran berkata, polis kemudian berjaya menghalang kenderaan terbabit di jalan masuk bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota.

"Anggota terbabit telah memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan penjenayah berkenaan menyerah diri," katanya.
Bagaimanapun, katanya, penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dan sabit terus melibas dan menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan kelima-lima penjenayah mati di tempat kejadian. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kesemua penjenayah," katanya.

Narenasagaran berkata, polis turut menemui semula barangan yang disamun daripada mangsa di dalam kenderaan penjenayah terbabit yang dipercayai dicuri di Cheras pada 2005.

Katanya, dengan tertumpasnya semua lelaki terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun iaitu lima di daerah Maran, masing-masing satu di Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan.

Sementara itu, mangsa Noraini Aziz, 44, ketika ditemui, berkata anak perempuannya berumur 20 tahun yang sedang tidur terjaga selepas menyedari seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam biliknya.

"Anak perempuan saya yang terkejut terus menjerit memanggil saya sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan pisau dan menunjukkan isyarat diam," katanya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dan rakan-rakannya terus melarikan diri selepas jeritan itu bersama barangan yang disamun termasuk wang tunai RM20 dan tiga telefon bimbit.

Katanya, dia turut mendapati terdapat beberapa pasang selipar yang bukan milik keluarga mereka di bahagian belakang rumahnya.
-Bernama-

Tiada ulasan: