AIR KUNING: Ketika semua pengguna jalan raya menggunakan kesempatan terakhir hari ini, untuk membayar saman trafik, namun berlainan pula yang berlaku kepada seorang pengguna dari Kampung Sungai Kroh, di sini.
Tiga saman dalam tempoh 18 minit diterima di laluan sama menyebabkan timbulnya kekeliruan selain kategori kenderaan yang berbeza.
Pengguna, Khairul Anuar Mustapha, 49, berkata, semasa membuat semakan saman, dia terkejut kerana menerima tiga saman dalam sehari iaitu pada 25 Disember 2009 lalu.
Menurutnya, lebih menimbulkan kekeliruan apabila dua saman dikenakan dalam tempoh seminit dan jenis kenderaan yang dikenakan saman juga berbeza dari segi kategori kerana dua saman menunjukkan kategori kenderaan motokar, manakala satu lagi adalah kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Saya di saman di Kilometer 46 Jalan Ipoh - Teluk Intan di sini, dan saman pertama pada jam 12.33 tengah hari.
“Saman kedua pula dikenakan pada jam 12.50 tengah hari dan saman ketiga pada jam 12.51 tengah hari, kesemuanya saman ini adalah di laluan yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.
Khairul Anuar berkata, dia hanya memandu kenderaan jenis Perodua Viva, namun salah satu saman yang dikenakan menggunakan nombor pendaftaran yang sama tapi atas kategori MPV.
“Bagaimana pula perkara ini boleh berlaku sedangkan kereta yang saya gunakan adalah kereta biasa dan tempoh saman seminit ini juga mengelirukan,” katanya.
Katanya, saman yang dikenakan ke atasnya diterima dengan hati terbuka dan masih perlu dijelaskan pembayarannya.
“Namun sebagai pengguna, kami mahukan kepastian mengapa perkara ini boleh berlaku dan pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal.
“Maklumat yang diterima daripada bahagian trafik berkaitan saman dalam tempoh seminit juga mengelirukan kerana mereka menyatakan kemungkinan saya melakukan pusingan U namun, jika difikirkan kembali, bagaimana saya boleh memecut dengan kadar segera dalam tempoh seminit selepas membuat pusingan U,” katanya.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan