"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakus, terdesaknya saman ekor

Mohd Haiza Hussin
RAKYAT baru sahaja dikejutkan dengan pengumuman penuh gah dan bergaya Ketua Pengarah JPJ merangkap secara tidak rasmi jurucakap Ketua Polis dan Ketua Pengarah DBKL tentang kadar kompaun terbaru saman yang dikeluarkan kepada semua pemandu di Malaysia dan peraturan baharu yang berkuatkuasa 1 Mac.

Di sini saya sebagai salah seorang pemandu warganegara Malaysia dan pembayar cukai yang sah ingin mengemukakan satu contoh bagaimana rakus dan terdesaknya pihak berkuasa dalam kes saman-menyaman terhadap pengguna jalan raya

Saya juga turut menyokong penuh desakan jawatankuasa bertindak yang diketuai YB Datuk Mahfuz Omar untuk menghapuskan saman ekor.

Saya mempunyai sebuah motosikal berkuasa rendah yang kebanyakan dimiliki oleh rakyat,terutama warga kota. Motosikal saya itu hanya digunakan untuk ke sekitar kawasan kediaman saya di Taman Melati, Setapak dan ulang alik ke masjid berdekatan rumah. Yang menjadi kehairanan dan penuh ajaib apabila pada beberapa hari yang lalu, tatkala rakyat dikejutkan dengan berita 'rakyat diutamakan lagi !' itu, saya mengakses kemudahan internet di talian PDRM dan mendapati saman ekor telah dikenakan terhadap saya atas kesalahan melebihi had laju motosikal saya.

Kesalahan direkodkan atas nama saya dan nombor pendaftaran motosikal milik saya dengan melebihi had laju berkompaun RM300.00 di Kuala Kangsar, Perak! Kejadian dicatatkan pada 21 Disember 2010. Begitu ajaib pemanduan saya dengan hanya sebuah motosikal Yamaha melebihi had laju di atas sebatang lebuhraya yang beratus kilometer jaraknya dari tempat tinggal saya!

Di sini saya ingin menarik perhatian pembaca betapa terdesaknya pihak berkenaan apabila terus mengambil tindakan saman tanpa merujuk atau meneliti terlebih dahulu kes seumpama ini.

Kemungkinan kes kereta curi dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu bermaharajalela di mana-mana amat meyakinkan saya. Inilah sebahagian contoh betapa rakusnya pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang ciptaan manusia yang semakin menekan dan membebankan rakyat kebanyakan.

Mohd Haiza Hussin,

Taman Melati, Setapak

Tiada ulasan: