"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Paksaan Untuk Menyerahkan DNA, pencabulan terhadap prinsip utama Undang-Undang

Kenyataan Media Ketua AMK
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyifatkan tindakan pihak-pihak tertentu yang kelihatan bersungguh mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk menyerahkan sampel DNA beliau adalah sebahagian daripada episod terancang yang bermotifkan politik jahat dan khianat. 

Baik pihak pendakwaan mahupun NGO-NGO picisan yang bersungguh mendesak ini, kelihatan tidak faham akan prinsip asas undang-undang bahawa ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’. Dalam mana-mana kes mahkamah, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa pihak tertuduh itu bersalah berdasarkan bukti yang jelas melampaui sebarang keraguan dan bukannya meminta atau mencipta bukti ! Dalam kes DSAI, beliau tidak perlu mengemukakan hatta secebis bukti sekalipun kerana beliau sendiri telah mempunyai alibi yang kukuh untuk menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam dakwaan penuduh.
Apa yang berlaku dalam kronologi kes fitnah kedua ke atas DSAI ini lebih bersifatkan pembunuhan karakter yang paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah politik negara. DSAI dinafikan akses ke atas pelbagai dokumen, malah pihak peguambela sendiri terhalang daripada menjalankan pelbagai ujian bebas ke atas bahan-bahan bukti yang dikemukakan oleh pendakwa.

Isu DNA ini berterusan dimainkan agar dengan mudah pihak pendakwaan memalitkan tuduhan ke atas DSAI. Percanggahan fakta sedari awal perbicaraan menunjukkan bahawa kes ini langsung tidak mempunyai asas undang-undang yang jelas dan fakta yang kukuh, di tambah pula dengan kredibiliti penuduh yang jahanam.

Tindakan pihak pendakwaan ini sekaligus bertentangan dengan Artikel 10 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (DUHAM) 1948:
“Everyone is entitled in full equality to a fair and public hearing by an independent and impartial tribunal, in the determination of his rights and obligations and of any criminal charge against him.”

Pembocoran awal hujahan pihak pendakwaan di dalam permohonan jahat mereka untuk memaksa DSAI menyerahkan sampel DNA membuktikan lagi hujah bahawa usaha membunuh karakter beliau dilakukan secara terancang oleh pihak pendakwaan dan media massa di bawah telunjuk Umno-BN.

AMK dengan tegas menyatakan bahawa tidak ada sebarang keperluan untuk DSAI tunduk kepada desakan-desakan bebal yang sedang dilakukan oleh beberapa pihak. Ini akan menyebabkan berlakunya perubahan terhadap prinsip asas undang-undang itu sendiri dan menjadikannya sebagai seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan tidak bermasalah.

AMK yakin dan percaya bahawa kelompongan kes ditambah dengan kekarutan pihak pendakwaan serta penyalahgunaan kuasa oleh pasukan polis terbabit di dalam kes yang sedang dipertontonkan ini, berpotensi besar merosakkan imej Malaysia di mata dunia, susulan daripada apa yang telah berlaku sebermula tahun 1998.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK)

Tiada ulasan: