Ancaman Senator Ezam Mohd Nor untuk membakar dua portal berita adalah "perbuatan jenayah” dan pihak polis serta peguam negara perlu bertindak segera ke atasnya, kata naib presiden PKR, N Surendran.
"Kami terkejut bahawa seorang ahli Dewan Negara sanggup mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan mengancam secara terbuka untuk melakukan perbuatan jenayah.
"Ini adalah satu ancaman yang keterlaluan ke atas harta dan pejabat kedua-dua portal berita ini; lebih serius lagi ancaman itu juga boleh mendatangkan kecederaan parah atau mungkin kematian terhadap kakitangan, penulis dan penghuni lain," kata Surendran dalam satu kenyataan petang semalam.
Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Ezam pada perhimpunan di masjid Shah Alam semalam yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya minggu lalu.
"Kita akan lancarkan perang habis-habisan jika mereka tidak hentikan dengan ejen mereka -- Malaysiakini, Malaysian Insider -- yang biadap kepada JAIS, kononnya mereka menceroboh masuk gereja.
"Kita beri anda amaran terakhir. Jika anda tidak hentikan sampah ini, kita akan bakar anda," kata Ezam.
Menurut Surendran, ancaman secara terang-terangan itu adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara ini.
"Pihak polis dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera terhadap Ezam Mohd Nor di bawah Seksyen 503 dan 505 Kanun Keseksaan kerana ugutan berunsur jenayah."
Naib presiden PKR itu juga menggesa Umno bagi menghormati kebebasan rakyat bersuara dan ucapan seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Amat mengganggu bahawa seorang senator dari Umno, yang menjadi tulang belakang kerajaan BN, mengancam untuk merusuh dan membakar pertubuhan media berita."
Ezam, bekas ahli PKR dan sekutu rapat ketua umum PKR Anwar Ibrahim, berpaling tadah dan menyertai semula Umno setelah pergeseran pahit dengan ketua pembangkang itu.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan