Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub hari ini masing-masing memfailkan saman malu terhadap empat pihak ekoran penangkapan salah terhadap mereka pada 9 Julai lalu.
Empat pihak tersebut adalah Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis Inspektor Mohd Zaid Madzizat.
Saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif, masing-masing di Mahkamah Tinggi Jalan Duta kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Selaian itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.
Pada sidang medianya, Mahfuz yang juag Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu tindakan saman itu dibuat sebagai memberi peringatan dan pengajaran kepada pihak kerajaan agar tidak melakukan sesuatu sesuka hati di luar undang-undang.
"Kami anggap tangkapan ini telah memberi gambaran buruk kepada kami seolah-olah kami melakukan kesalahan.
"Jumlah tuntutan gantirugi kita akan bincang dengan peguam, namun saya kira tidak kurang dari RM1 juta," katanya.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pula turut sependapat bahawa tindakan saman itu sebagai teguran kepada kerajaan dan pihak polis.
"Ini bukan untuk diri kami tetapi sebagai teguran agar kerajaan bertindak secara adil," katanya.
Mereka sebelum ini mendakwa penahanan mereka di KL Sentral ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.
Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.
Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.
Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan daripada mereka.
Mereka juga tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka.
Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.
Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan